Bukan referendum, Zahid beritahu PN jangan mimpi

Bukan referendum, Zahid beritahu PN jangan mimpi

Timbalan perdana menteri berkata Kemaman hanya 'kepompong kecil' selain pengundi putih Umno tidak turun memilih sehingga menampakkan PN meraih majoriti bertambah.

Presiden Umno Zahid Hamidi menolak Parlimen Kemaman kekal dalam penguasaan PN sebagai referendum rakyat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Perikatan Nasional (PN) “jangan bermimpi di siang hari” mendakwa kemenangan pada PRK Kemaman sebagai referendum rakyat menolak kerajaan perpaduan.

Bukan sahaja Kemaman disifatkan “kepompong kecil”, bahkan timbalan perdana menteri menyatakan jumlah undi diterima calon PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK itu “tiada peningkatan sokongan”.

Katanya, pengurangan undi Barisan Nasional (BN) berlaku apabila pengundi putihnya kira-kira 10,000 tidak turun memilih.

“Kita tidak boleh anggap sebagai referendum, ini satu kepompong kecil di Kemaman, mana mungkin 141,000 pengundi di Kemaman dianggap satu referendum, kita harap mereka tidak bermimpi di siang hari,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Transformasi Politeknik 2023-2030 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Tidak ada peningkatan sokongan kepada calon PAS, tetapi terdapat kekurangan pengundi putih BN khususnya Umno, kira kira 10,000.

“Sebab itu bila hanya 68.3% sahaja pengundi putih Umno keluar mengundi maka ia menyumbang majoriti bertambah (kepada PAS) kerana undi kita tidak keluar,” kata Zahid.

Pada PRK Kemaman Sabtu lalu, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan calon BN Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Naib presiden PAS itu memperoleh 64,998 undi, manakala Raja Affandi meraih 27,778 undi.

Sementara itu, Zahid turut menjelaskan kesihatannya bertambah baik selepas menjalani prosedur pembedahan membabitkan prostat.

“Saya jalani prosedur pembedahan prostat. Semua orang lelaki ada prostat, sama ada besar atau kecil. Jangan buat spekulasi macam-macam, (setakat ini) Alhamdulillah saya sihat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.