Bukan luar biasa menang kubu kuat, kata pembantu Anwar

Bukan luar biasa menang kubu kuat, kata pembantu Anwar

Kamil Abdul Munim berkata Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin tidak perlu 'kecil hati' ekoran lonjakan populariti Ahmad Samsuri Mokhtar.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, berucapa kepada penyokong di Kemaman selepas menang PRK Parlimen itu, pada Sabtu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kemenangan PAS pada PRK Kemaman bukan sesuatu “luar biasa”.

Kamil Abdul Munim, yang juga timbalan ketua Pemuda PKR juga menolak dakwaan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang sifatkan kemenangan besar Ahmad Samsuri Mokhtar adalah referendum terhadap kerajaan perpaduan.

Beliau turut mempersoal pendirian Takiyuddin yang tidak pula membangkitkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Pelangai, Oktober lalu, sebagai referendum kepada kerajaan pimpinan Anwar.

“Menang di kubu sendiri bukanlah sesuatu yang luar biasa. Pelangai kelmarin tak dikira referendum pula. Lain la kalau menang di Subang,” katanya dalam catatan di X.

Kamil berharap Samsuri, yang juga menteri besar Terengganu dapat menjadi pemangkin kepada Ahli Parlimen pembangkang agar lebih efektif, susulan harapan tinggi penyokong Perikatan Nasional terhadap dirinya.

Beliau juga menyindir Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ekoran populariti Samsuri yang semakin melonjak.

“Larut (kawasan Parlimen diwakili Hamzah), Pagoh (Muhyiddin) mohon jangan kecil hati. Pakat baik-baik,” katanya.

Pada PRK Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar terpilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi, menewaskan Raja Affandi Raja Noor daripada BN.

Samsuri diletakkan di Kemaman selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Che Alias Hamid pada PRU15 kerana didapati berlakunya rasuah, pada September lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.