
Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco), Muhamad Nazri Pazil berkata ia termasuk berkaitan kemampuan empangan menakung kapasiti air yang dijangka meningkat pada musim tengkujuh.
“Pemeriksaan berkala secara bulanan dan audit integriti setiap enam bulan adalah antara langkah yang diambil melebihi garis panduan ‘Malaysia Dam Safety Management Guidelines’ (MyDAMS) demi keselamatan empangan untuk memastikan keutuhan struktur.
“Selain menjana elektrik, empangan-empangan hidroelektrik TNB turut berfungsi sebagai tebatan banjir dengan kapasiti menakung air di hulu sungai, sekali gus dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, paras air tasik telah diturunkan secara terancang ke paras minimum melalui pelepasan terkawal mengikut prosedur operasi standard (SOP) sebelum permulaan musim tengkujuh dengan mengambil kira keperluan operasi supaya keupayaan penjanaan elektrik masih boleh dilakukan.
“Langkah-langkah ini bagi memastikan empangan dapat berfungsi dengan baik bukan sahaja sebagai penjana tenaga hidro tetapi juga membantu usaha penebatan banjir.
“Penyelenggaraan empangan secara berhemat dan menyeluruh mendukung prinsip utama melindungi nyawa, harta benda dan persekitaran,” katanya.
Nazri berkata, TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan kepada pemegang taruh dan penduduk setempat, di samping latih amal simulasi kecemasan bersama agensi kerajaan yang terlibat dengan pengurusan bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan jawatankuasa pengurusan bencana daerah dan negeri.