Sistem pekerja migran perlu reform, kata aktivis

Sistem pekerja migran perlu reform, kata aktivis

Pejabat Perdana Menteri dicadang ambil alih pengurusan migrasi buruh dengan sistem diaudit ombudsman bebas.

Ketidakcekapan dalam proses kelulusan kuota pekerja migran dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu melakukan reform terhadap kuota pekerja asing dan sistem pengambilan yang lebih telus dan cekap, kata aktivis hak asasi migran.

Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira, membangkitkan kebimbangan terhadap prosedur dalam sistem sedia ada.

“Terdapat pemeriksaan kesihatan berganda yang mana meningkatkan kos, selain latihan prapelepasan tidak cekap yang mana kami melihat tidak ada impak ke atas pengetahuan pekerja,” katanya kepada FMT.

Menurut Foreign Workers Medical Examination Monitoring Agency, pekerja migran wajib melakukan dua pemeriksaan kesihatan: satu di negara asal sebelum berlepas dan satu lagi di Malaysia dalam tempoh 18 hari ketibaan.

Pereira juga membangkitkan skandal melibatkan dokumen palsu digunakan bagi memohon kuota pekerja, di mana beliau mendakwa ia bukti kegagalan sistem.

“Kami mendapati pekerja migran yang mempunyai visa sah dan dokumentasi rasmi, namun dokumen yang syarikat gunakan bagi pengambilan pekerja mengandungi maklumat palsu,” katanya.

“Kami mencadangkan migrasi buruh diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, dengan sistem diaudit menerusi ombudsman bebas kerana kita tahu sistem terpakai tidak lagi selamat,” katanya.

Koordinator Migrant Care Malaysia Alex Ong, berkata kurangnya ketelusan dalam agihan pekerja migran merentasi industri, mungkin mengakibatkan potensi penyelewengan dan rasuah dalam kementerian yang menguruskan kelulusan kuota dan dasar pekerja domestik.

Bulan lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2022 mendedahkan ketidakcekapan dalam proses kelulusan pekerja migran. Laporan itu mendapati modul pusat sehenti pengurusan pekerja bersepadu, ditubuhkan pada 2005 bagi penyeragaman pemprosesan permohonan majikan, tidak digunakan sepenuhnya.

Walaupun melibatkan kos pembangunan RM19.4 juta, sistem tersebut hanya digunakan bagi menentukan kelayakan majikan bagi kuota pekerja migran. Laporan itu juga menggariskan isu pelaksanaan sistem termasuk perjanjian tidak ditandatangani dan halatuju operasi tidak jelas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.