
Beliau berkata keputusan menunjukkan trend penolakan pengundi BN terhadap kerjasama parti itu dengan PH.
“(Ini) dapat diperhatikan dalam semua PRK sebelum ini.
“Ini adalah suatu amaran berterusan daripada pengundi kepada BN, khususnya Umno,” katanya di Facebook.
Pada PRK Kemaman, calon PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Adun Rhu Rendang, menumpaskan calon BN, Raja Affandi Raja Mohamed Noor dalam saingan dua penjuru.
Margin kemenangan diraih Samsuri jauh lebih tinggi berbanding yang diperoleh calon PAS, Che Alias Hamid pada PRU15 dengan majoriti sebanyak 27,179 undi.
Kemenangan Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya kerana didapati berlaku rasuah, pada September lalu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata kejayaan memperolehi majoriti 37,220 undi, iaitu peningkatan hampir 10,000 undi berbanding keputusan PRU15, petanda jelas sokongan rakyat yang semakin kuat kepada PAS dan PN.
Beliau berkata semakin PN kuat ditekan, semakin kukuh sokongan rakyat.
“Keputusan PRK Kemaman ini juga mengesahkan populariti kerajaan PH-BN yang semakin merudum.
“Rakyat, khususnya orang Melayu, menolak kerjasama antara kedua-kedua parti ini. Ini petanda bahawa penyokong BN sendiri beralih arah menyokong PAS,” katanya.