
Dalam kejadian 9.55 pagi itu, Romadiah Ismail, 65, dan Nadzifah Abu Seman, 28, yang menaiki kereta Perodua Bezza terbunuh di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.
Sementara itu, seorang lagi mangsa wanita, Nur Fathi Rahman, 26, menaiki kereta Perodua Axia dilaporkan cedera parah.
Dua lagi mangsa iaitu dua lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux mengalami kecederaan ringan.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Ahmad Aminudin Abd. Rahim memberitahu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.59 pagi tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, kita mendapati terdapat empat kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu dengan tiga mangsa tersepit di dalam Perodua Bezza dan Axia.
“Dua mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Kosmo.
Mayat mangsa meninggal dunia dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Tular sejak pagi tadi rakaman video memaparkan sebuah lori merentangi jalan dengan kenderaan berat itu menghempap sebuah kereta berwarna putih, manakala sebuah lagi kereta berwarna biru remuk.