
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Redzuan Yusof yang dipetik Sinar Harian mendakwa, terdapat spekulasi bahawa Ahli Parlimen dari blok kerajaan, termasuk BN dan PKR, akan menyokong PN untuk membentuk kerajaan baharu.
“Saya tak pernah dengar berita seperti itu,” kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin yang juga menteri pendidikan tinggi kepada FMT.
Manakala Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata dakwaan Redzuan hanyalah ‘penyedap’ cerita untuk mengalihkan pandangan dan mengganggu gugat kestabilan kerajaan “yang telah mendapat kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa”.
“Saya yakin rakyat telah muak dengan cerita-cerita seperti ini, bahkan mahu kerajaan sedia ada kekal dan terus menerajui masa depan Malaysia,” kata Ahli Parlimen Sekijang itu lagi.
Beberapa parlimen PKR juga turut menolak dakwaan Redzuan dengan berkata ia lebih kepada usaha meningkatkan sokongan Bersatu selepas lima wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Hang Tuan Jaya Adam Adli Abd Halim berkata perkara itu tiada dalam pengetahuannya, bagaimanapun yakin usaha itu dilakukan selepas Bersatu hilang sokongan daripada wakil rakyatnya.
Manakala bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim turut menolak dakwaan berkenaan dengan menyatakan rakyat mahu kerajaan mentadbir sehingga tamat penggal.
“Hanya Ahli Parlimen kerajaan perpaduan yang ‘bodoh politik’ sahaja yang akan melompat atau menyeberang ke PN.
“Eloklah pemimpin PN berhenti dari melayan mimpi di siang hari mereka,” katanya yang turut mengingatkan pemimpin Bersatu untuk mendidik wakil rakyat untuk tidak ‘melompat-lompat’.
Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Taufiq Johari pula menyifatkan spekulasi sedemikian sebagai “tidak berasas”, dan meminta pembangkang menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih mendesak.
Katanya lagi, ketidakstabilan politik baru-baru ini telah menjejaskan ekonomi negara dan keyakinan pelabur justeru beliau mengingatkan pemimpin politik tidak mengeluarkan kenyataan yang menggusarkan sehingga menimbulkan ‘spekulasi yang tidak menentu’.
“Rakyat mula bosan dan lelah,” katanya.