Menteri Sarawak kecam kenyataan ‘tokong perut buncit’ Sanusi

Menteri Sarawak kecam kenyataan ‘tokong perut buncit’ Sanusi

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata tidak sepatutnya seorang menteri besar menghina pemimpin yang berlainan agama.

Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri) berkata Sanusi Nor tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menghina kepercayaan agama lain.
PETALING JAYA:
Menteri Pelancongan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah mengecam menteri besar Kedah kerana mengeluarkan kenyataan yang menghina Menteri Pelancongan Tiong King Sing.

Karim berkata kenyataan Sanusi Nor di DUN Kedah pada Rabu lalu itu adalah tidak wajar dikeluarkan oleh seorang menteri besar terutama sekali ia ditujukan kepada pemimpin lain yang berlainan agama.

Sanusi dilaporkan berkata Tiong seperti “tokong berkepala botak dan berperut buncit”.

Karim, yang juga naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti utama gabungan yang memerintah Sarawak, berkata Sanusi tidak sepatutnya menghina kepercayaan agama lain.

“Apakah perasaan beliau sekiranya ada orang berlainan agama mempermainkan cara solat orang Islam? Sekiranya beliau (Sanusi) berasa marah, saya yakin mereka yang mendengar kenyataan menteri besar itu juga akan kecewa,” katanya kepada FMT.

Katanya, seseorang berkedudukan seperti Sanusi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu di DUN dan beliau patut sedar mengenai peraturan mesyuarat.

Semalam, Malaysiakini melaporkan Sanusi seperti hilang pertimbangan kerana mengeluarkan kenyataan seperti itu. “Tuhan pun kena tuduh,” kata Tiong yang berasal dari Sarawak.

Sanusi berkata demikian ketika mengkritik Tiong yang menurutnya tidak memberikan sebarang pandangan ketika mesyuarat mereka dengan wakil kerajaan Thailand di Sadao, Selatan Thailand, pada bulan lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.