LRT Johor: Pakar cadang mula koridor Kulai-JB

LRT Johor: Pakar cadang mula koridor Kulai-JB

Rosli Azad Khan berkata ini kerana kawasan terbabit mewakili kawasan permintaan tinggi.

Kerajaan Johor dalam proses menyediakan kertas kerja kepada Putrajaya berhubung cadangan projek LRT yang dianggarkan bernilai RM20 bilion.
PETALING JAYA:
Seorang pakar pengangkutan mencadangkan koridor Kulai-Senai-Larkin-Johor Bahru menjadi perintis laluan Transit Aliran Ringan (LRT) yang dirancang di bandaraya itu oleh kerajaan Johor.
Rosli Azad Khan.

Perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan berkata ini kerana kawasan terbabit mewakili kawasan permintaan tinggi dan harus diutamakan untuk melancarkan trafik yang bukan hanya membabitkan kenderaan tempatan malah dari Singapura.

Merujuk kos RM20 bilion dinyatakan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh, bulan lalu, beliau berkata perbelanjaan LRT boleh memakan belanja tinggi dan perlu dilaksana berperingkat.

“LRT dirancang untuk masa depan. Sekiranya penjajaran dilakukan dengan betul serta potensi pembangunan berorientasikan transit masa depan di pelbagai stesen diambil kira maka garis asas awal mungkin dapat diwujudkan.

“Koridor Kulai-Senai-Larkin-JB mewakili kawasan permintaan tinggi harus diberi perhatian terlebih dahulu bagi peralihan pemilihan kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam,” katanya kepada FMT.

“Mungkin (koridor) Pasir Gudang-Permas Jaya-JB dilaksana kemudian.”

Pada 26 Nov lalu, Fazli berkata kertas kerja cadangan pembinaan perkhidmatan LRT di Johor akan dibentangkan kepada kerajaan persekutuan selepas satu mesyuarat khas mengenai projek itu, kelmarin.

Mesyuarat membabitkan pelbagai agensi terlibat itu akan memperhalusi cadangan projek dianggarkan RM20 bilion, melibatkan jajaran Tebrau, Skudai, dan Iskandar Puteri sepanjang hampir 30km.

Wan Agyl Wan Hassan.

Wan Agyl Wan Hassan, rakan kongsi pengurusan firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners pula berkata kos RM20 bilion mungkin mengambil kira beberapa faktor termasuk usaha mengintegrasikannya dengan rangkaian pengangkutan sedia ada.

“Berbeza dengan Lembah Klang yang berjalan sejajar dengan rangkaian pengangkutan awam darat yang ada,” katanya.

Beliau berkata faktor lain seperti kos pengambilan tanah yang mungkin tinggi akibat cabaran kejuruteraan lebih kompleks, harga bahan dan kos buruh.

Katanya, perspektif perlu diperluas untuk mengambil kira proses urbanisasi berterusan bandar, pertumbuhan penduduk dan pembangunan ekonomi biarpun petunjuk semasa mungkin menunjukkan permintaan pengguna yang sederhana.

“Projek ini tidak hanya perlu layak dari segi kewangan dalam fasa pembinaannya tetapi juga perlu mengambil kira kos operasi dan penyelenggaraan jangka panjang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.