Inisiatif kurang beban kos sara hidup disambut baik rakyat, kata Fuziah

Inisiatif kurang beban kos sara hidup disambut baik rakyat, kata Fuziah

Program seperti Menu Rahmah antara inisiatif bawah Payung Rahmah yang kekal dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata peruntukan RM200 juta bawah Payung Rahmah menekankan komitmen kerajaan menangani kebimbangan rakyat.
PUTRAJAYA:
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata insiatif dilaksanakan kementerian sepanjang tahun ini disambut baik rakyat.

Bercakap pada Simposium Kos Sara Hidup 2023, Fuziah berkata pihak kementerian kekal komited berkhidmat untuk pengguna selain melindungi mereka dan industri menerusi penguatkuasaan mantap.

Beliau berkata, pengenalan inisiatif dipacu bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat, terutama didorong faktor global.

“Krisis global, seperti perubahan iklim dan konflik perang Ukraine-Rusia menyumbang peningkatan harga komoditi.

“Kita import 100% bawang kita. Jadi apabila negara pengeluar seperti India menyekat eksport mereka dan kemudian meningkatkan cukai, kita juga terkesan,” katanya.

Ogos lalu, Bernama melaporkan India, pengeksport terbesar bawang dunia mengenakan 40% duti eksport terhadap bahan itu bagi membendung inflasi runcit susulan peningkatan harga makanan. Pelaksanaan duti itu kekal berkuat kuasa hingga 31 Dis.

“Objektif utama kita adalah memastikan rakyat tidak terlalu dibebani cabaran kesan kos sara hidup tinggi.

“Bagi menangani perkara ini, kami terus memperluas dan mengukuhkan inisiatif Payung Rahmah, merangkumi program seperti Jualan Rahmah, Menu Rahmah dan Bakul Rahmah,” kata Fuziah.

Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan memperuntukkan RM200 juta bagi inisiatif Payung Rahmah.

Fuziah berkata, peruntukan menekankan komitmen kerajaan perpaduan menangani kebimbangan rakyat dan ia usaha berterusan meringankan tekanan kos sara hidup.

Beliau juga memberi penghormatan kepada Salahuddin Ayub, bekas menteri di kementerian berkenaan selain mengiktiraf peranan besarnya dalam memperkenalkan konsep Rahmah bagi mengurangkan beban rakyat, merujuk kepada Menu Rahmah.

“Sesuatu yang kita berfikir hanya mampu bertahan dua ke tiga bulan, dapat kita bertahan sehingga sekarang, di mana sebanyak 2,894 ‘outlet’ masih menawarkan Menu Rahmah.

“Beliau (Salahuddin) secara konsisten meletakkan rakyat diutamakan. Kami menjunjung legasinya dan akan terus memperkenalkan inisiatif tambahan bagi meringankan lagi beban rakyat,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif diumumkan baru-baru ini, seperti kad diskaun bagi peniaga kerana mempromosi selain memberi ganjaran terlibat dalam Menu Rahmah, termasuk Kedai Cari Rakyat bawah Jualan Rahmah, hanya permulaan kepada banyak lagi siri inisiatif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.