Boikot hanya beri kesan jika berterusan, kata ahli ekonomi

Boikot hanya beri kesan jika berterusan, kata ahli ekonomi

Beberapa ahli ekonomi berpendapatan boikot berterusan oleh pengguna boleh menyebabkan syarikat yang menjadi sasaran terjejas teruk.

Kesan daripada boikot itu menyebabkan McDonald’s memberi amaran untuk meminta bantuan kerajaan bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak di sebalik kempen itu.
PETALING JAYA:
Gerakan memboikot produk yang mempunyai kaitan dengan Israel mungkin tidak memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan, tetapi ia boleh memberi kesan jangka panjang kepada perniagaan yang menjadi sasaran, menurut ahli ekonomi.

Profesor ekonomi Niaz Asadullah dari Universiti Monash Malaysia berkata, bagi syarikat yang menjadi sasaran, akan terdapat kos ekonomi yang perlu dibayar manakala rakan sejawatnya di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams pula berpendapat, kesan terhadap perniagaan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

Bagaimanapun, kesan tersebut hanya akan dirasai jika boikot itu berterusan dalam jangka masa panjang. Pada masa yang sama, ia juga membuka peluang kepada syarikat pesaing.

Ramai rakyat Malaysia menyertai kempen memboikot produk dan syarikat yang dikaitkan dengan Israel sejak rejim Zionis itu melancarkan kempen ketenteraan terhadap Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober.

Boikot kali ini, jelas Asadullah, bersifat global dan tidak terhad di Malaysia, menjadikan ia tidak mungkin memberi kesan menyeluruh ke atas ekonomi tempatan.

“Ia juga hanya akan memberi kesan kepada jenama tertentu dan bukannya semua jenama Barat,” katanya yang menambah boikot juga tidak memberi kesan besar pada permintaan di Malaysia.

“Sebaliknya, ia memberi peluang bagi pesaing tempatan untuk mendapat untung daripada permintaan pengguna yang beralih,” katanya.

Williams pula berkata mangsa utama boikot di Malaysia adalah syarikat francais dan pihak berkepentingan mereka, termasuk pekerja.

Katanya jika boikot tidak berterusan, kehilangan pekerjaan adalah minima. Oleh itu, malah syarikat yang menjadi sasaran juga tidak mungkin mengubah dasar-dasar mereka.

Bagaimanapun, Williams berkata, terdapat kesan jangka panjang akibat boikot pengguna yang berterusan terhadap sebuah syarikat atau industri.

Ini boleh memaksa syarikat untuk mengubah dasar mereka untuk mengelakkan kehilangan perniagaan mereka.

“Dalam beberapa kes, kerosakan terhadap sesuatu jenama mengambil masa bertahun-tahun untuk dibaiki. Syarikat itu juga mungkin terpaksa menukar sepenuhnya jenama mereka. Beberapa lagi terpaksa gulung tikar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.