6 lokasi di Jeli dengan keindahan alam semula jadi

6 lokasi di Jeli dengan keindahan alam semula jadi

Dari pergunungan melatari Jeli dan matahari terbit berkabus hingga ke air terjun mengasyikkan, tempat indah di Kelantan ini boleh memberi ketenangan kepada pengunjung.

Pengalaman cukup mempesona menyaksikan matahari terbit di Bukit Salor.  (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)
Sebut saja Kelantan, kebanyakan orang mengaitkannya dengan kraftangan tradisional yang cantik seperti batik dan songket. Tetapi negeri Pantai Timur ini, turut dikenali sebagai “kediaman yang menyenangkan”, juga mempamerkan banyak destinasi tersembunyi kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Tidak percaya? Pergi ke Jeli, daerah bersejarah di sempadan selatan Thailand. Anda pasti akan terpesona dengan pemandangan air terjun mengasyikkan, Sungai indah dan kehijauan yang subur.

Semasa lawatan baru-baru ini yang dianjurkan Tourism Malaysia, FMT Lifestyle sempat melawat beberapa lokasi cukup mempesonakan.

Bukit Salor

Untuk menikmati pemandangan matahari terbit atau terbenam yang indah, anda boleh melawat ke kawasan mendaki yang popular ini.

Terdapat denai diselenggara dengan baik ke puncak dan anda boleh memilih untuk berjalan atau memandu ke atas.

Dengan kabus tebal pada awal pagi, seolah-olah anda melangkah ke awan gebu — pengalaman seumpama mimpi. Pemandangan matahari terbit di ufuk dan menyinar segenap kawasan yang sungguh menakjubkan.

Sekiranya cuaca baik, anda boleh melihat Gunung Reng, sebuah lokasi legenda.

Mengikut hikayat, terdapat sebuah kampung di kaki gunung dan pada suatu hari, seorang pembesar kampung mengadakan kenduri, siap dengan pertandingan laga kucing dan anjing di bumbung rumahnya.

Tiba-tiba, langit bertukar gelap. Kemudian, seorang wanita tua mendapati kampung itu telah ditutupi batu besar dan batu itu kini dikenali Gunung Reng.

Lata Kashmir

Mengunjungi Lata Kashmir mungkin membuatkan anda tertanya-tanya sama ada masih berada di Malaysia atau lokasi eksotik di luar negara. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyle)

Di Lata Kashmir – jolokan sempena wilayah di India, pengunjung tentu akan terpesona dengan pemandangan pergunungan melatari sungai yang jernih.

Semasa lawatan FMT Lifestyle, pengunjung dilihat menikmati pemandangan, bermain di sungai dan memasak di tempat barbeku.

Terdapat juga kemudahan berkhemah disediakan pengusaha tempatan Lata Kashmir View. Pemiliknya, Zulfadli Khuzaiman, turut menyediakan aktiviti seperti “water rafting” dan “water tubing”, menjadikan pusat rekreasi ini lokasi menyeronokkan untuk bermalam.

Lata Janggut

Pengunjung boleh menikmati pengalaman terapung di atas sungai dengan arus perlahan di Lata Janggut tanpa perlu risau. (Moganraj Villavan@FMT Lifestyles)

Nama Lata Janggut mungkin menimbulkan rasa ingin tahu.

Menurut Ketua Kampung Lata Janggut, Wan Azman Wan Musa, 52, nama itu dipercayai diilhamkan daripada aliran air terjun yang menyerupai janggut!

Laluan ke lata diselenggara dengan baik dan di sepanjang aliran yang indah, terdapat bangku sepanjang jalan bagi mereka yang ingin berehat. Jaket keselamatan dan pelampung turut disediakan bagi mereka yang ingin berendam.

Apa lagi yang menarik di tempat ini? Penghuni comel — monyet, yang cukup mesra dengan pelawat!

Lata Hokkaido

Warga bandar akan berasa teruja merendam kaki ke dalam air sungai yang nyaman dan dingin di Lata Hokkaido. (Moganraj Villavan@FMT Lifestyles)

Lata Hokkaido, dipercayai dinamakan sempena kawasan pelancongan di Jepun, terkenal dengan aktiviti berkelah — tidak menghairankan apabila bunyi air yang mengalir perlahan mememani sesi perkelahan anda, memberikan ketenangan yang sukar diperoleh!

Jadi, bawa bersama termos kopi panas dan nikmatinya di lokasi cukup mendamaikan ini. Anda juga boleh memilih untuk berjalan di atas batu, namun berhati-hati kerana ia mungkin licin!

Lata Turbo

Nikmati pemandangan indah dan bunyi air terjun mendamaikan di Lata Turbo. (Moganraj Villavan @ FMT Lifestyles)

Lata Turbo adalah tempat untuk anda berehat sambil menikmati pemandangan indah dengan suasana tenang.

Terletak di Kampung Lawar Batu Melintang, jambatan keluli di sini merupakan tempat pilihan untuk pengunjung bergambar.

Bunyi air terjun berdekatan sangat menenangkan, jadi usai anda menikmati pemandangan sekeliling, tutup mata dan nikmati bunyi-bunyian alam semula jadi yang menenangkan.

Artikel ini ditulis sebagai sebahagian daripada lawatan ke Kelantan anjuran Tourism Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.