5 syarikat telco meterai perjanjian pegangan ekuiti dalam DNB

5 syarikat telco meterai perjanjian pegangan ekuiti dalam DNB

Syarikat-syarikat tersebut memperoleh 70% secara kolektif, manakala kerajaan akan mengekalkan baki 30% menerusi MOF Inc.

Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, pemeteraian perjanjian ini mesti dilaksanakan terlebih dahulu sebelum rangkaian 5G kedua boleh dibincangkan lebih lanjut. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Lima pengendali rangkaian telekomunikasi utama Malaysia menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) hari ini untuk memperoleh 70% pegangan ekuiti secara kolektif dalam Digital Nasional Bhd (DNB), pembekal rangkaian borong 5G negara.

CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Power International masing-masing akan membeli 14% pegangan dalam DNB, masing-masing mengeluarkan RM233 juta, berjumlah RM1.165 bilion, yang akan digunakan untuk keperluan pembiayaan DNB.

Langganan saham itu hanya dijangka selesai antara Februari dan April tahun depan selepas syarat usaha wajar dipenuhi, menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kerajaan akan mengekalkan saham penting dalam DNB, serta baki 30% pegangan, melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

Langganan saham itu menjadi pelopor kepada penyediaan rangkaian 5G kedua, yang akan menjadi operasi komersial sepenuhnya.

Langkah seterusnya adalah membantu DNB melengkapkan pelaksanaan rangkaian 5G dengan mencapai liputan 80% di kawasan berpenduduk, kata Fahmi dalam sidang media selepas majlis pemeteraian perjanjian.

“Setakat akhir Oktober, kita telah mencapai 73%. Apabila 80% (liputan) dicapai, kerajaan akan mengumumkan penubuhan entiti baharu,” katanya.

Entiti baharu itu, dikenali sebagai Entiti B, akan menjadi rangkaian 5G kedua yang diumumkan oleh kerajaan pada Mei.

Fahmi berkata, syarikat-syarikat telekomunikasi itu akan berbincang dan membuat keputusan mengenai mana satu dalam kalangan mereka akan memasuki Entiti B.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjadi pihak berkuasa kawal selia “bagi memastikan persaingan yang adil antara kedua-dua rangkaian demi manfaat rakyat”, kata Fahmi.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan memegang sebarang kepentingan dalam rangkaian kedua itu.

Syarikat-syarikat terbabit telah bersetuju bahawa harga borong 5G tidak akan meningkat dengan pelancaran rangkaian kedua, katanya.

Dalam pemfailan bursa saham, CelcomDigi (melalui anak syarikatnya Infranation Sdn Bhd) dan Maxis berkata, mereka akan melanggan 100,000 saham dalam DNB pada harga terbitan RM1 per saham, lapor Bernama.

DNB mempunyai modal saham terbitan sebanyak RM500 juta, terdiri daripada 500 juta saham biasa.

Saham CelcomDigi ditutup 10 sen lebih rendah pada RM4.24 dengan 34.51 juta saham didagangkan di Bursa Malaysia, manakala saham Maxis meningkat enam sen kepada RM3.96 dengan 994,500 saham didagang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.