
Menurut Bendahari PAS Iskandar Abdul Samad, pihaknya sentiasa terbuka memberi penerangan dan pernah berbincang bersama wakil gereja bagi memberi kefahaman berhubung Islam dan mengelakkan situasi Islamofobia.
Malah, jelasnya di Kelantan yang ditadbir puluhan tahun oleh PAS, masyarakat bukan Islam di negeri itu bebas mengamalkan gaya hidup serta fahaman masing-masing, begitu juga di tiga negeri lain ditadbirnya iaitu Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Namun stigma negatif terus terpalit dan Iskandar berkata: “PAS sentiasa menjadi mangsa disalah tafsir, kita harap masyarakat tidak menerima bulat-bulat apa yang didengar tetapi perlu dapatkan maklumat sahih.”

“PAS sentiasa terbuka memberi penerangan kepada semua pihak jika diminta sama ada untuk Islam atau bukan Islam,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Iskandar menegaskan PAS sentiasa mempertahankan prinsip Islam dan perjuangannya, di samping menghormati hak bukan Islam.
Beliau mengulas gesaan Ketua Bersekutu Bersatu Chong Fat Full supaya PAS menjaga percakapan sekiranya mahu Perikatan Nasional (PN) meraih sokongan bukan Melayu.
Bekas Adun Pemanis itu mendakwa beberapa tindakan parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis menyukarkan tugasnya menarik sokongan pengundi bukan Islam.

Pada 20 Okt lalu, Presiden PAS Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar tahunan PAS berkata PAS dan PN gagal mendapat bilangan kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan kerana masih lemah menarik sokongan bukan Melayu.
Beliau menarik perhatian betapa hakikat di sebalik peningkatan mendadak kerusi yang dimenangi PAS pada pilihan raya lepas, PN masih gagal membentuk kerajaan.
Pada PRU15, PAS menang 43 kerusi yang kesemuanya di kawasan majoriti pengundi Melayu, jumlah itu pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya umum. PN menang 74 kerusi yang bakinya dikuasai Bersatu.
Bagaimanapun, Bersekutu Bersatu dan Gerakan gagal menang di kerusi campuran yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) menerusi DAP.