
“Kita harus mengakui bahawa ini adalah salah satu jenayah paling keji yang boleh dilakukan terhadap manusia lain,” kata Andrew Wallis dalam program bual bicara FMT, Stakeholders, bersama Shireen.
Katanya, Putrajaya perlu “menaik taraf” undang-undang di negara itu, langkah penting yang diambil oleh banyak negara di seluruh dunia.
“UK, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) mengambil langkah untuk menangani pemerdagangan manusia dan meningkatkan persekitaran tempat kerja. Ini adalah sesuatu yang kerajaan Malaysia boleh pertimbangkan untuk dilakukan juga,” kata beliau kepada hos Shireen Muhiudeen.
Di Malaysia, Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seseorang tidak boleh ditahan sebagai hamba. Buruh paksa adalah kesalahan jenayah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, dan Seksyen 374 Kanun Keseksaan.
Wallis berkata perniagaan di Malaysia juga perlu tahu tentang undang-undang yang lebih ketat di pasaran eksport utama yang diperkenalkan untuk menangani masalah tersebut.
Beliau memberi contoh “penangguhan pelepasan” yang dikenakan oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan AS ke atas produk yang disyaki terbabit amalan buruh paksa.
Sementara itu, parlimen UK juga meluluskan Akta Perhambaan Moden 2015 dan, baru-baru ini, Akta Kesihatan dan Penjagaan 2022, untuk menghapuskan penggunaan barang yang dikeluarkan dengan menggunakan buruh paksa.
“Ini bersangkut-paut dengan Malaysia kerana mengikut akta itu jika sesuatu produk boleh dibuktikan (terbabit) dengan buruh paksa, maka anda tidak akan memiliki akses ke pasaran EU,” katanya.
Wallis juga mencadangkan, seiring dengan memperkenalkan undang-undang yang lebih ketat, kerajaan juga seharusnya mengambil langkah untuk memastikan syarikat di Malaysia mematuhi amalan dan prinsip terbaik yang ditetapkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa.
“Jika anda memberi layanan kepada pekerja dan menjaga mereka dengan baik, jaminan kualiti dan produktiviti anda akan ditingkatkan, jadi sebenarnya itu adalah situasi ‘menang-menang’ untuk perniagaan hanya dengan melakukan perkara yang betul,” katanya.