Tempah pakej umrah tanpa deposit langgar akta, Papuh selar MATA

Tempah pakej umrah tanpa deposit langgar akta, Papuh selar MATA

Setiausaha Agung Kehormat Papuh Faridah Hamid menyelar cadangan MATA supaya pengendali umrah dilarang mengambil wang pendahuluan untuk mengelakkan jemaah ditipu.

Minggu lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan terutamanya perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh) menyelar kenyataan Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) yang mencadangkan pengendali umrah dilarang mengambil wang pendahuluan untuk mengelakkan jemaah ditipu.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Faridah Hamid, berkata sebagai agensi persatuan pelancongan, MATA seharusnya faham mengenai Akta 482 Industri Pelancongan yang menyatakan tempahan perlu disertakan dengan bayaran deposit.

“Tanpa sebarang deposit, pelanggan boleh membatalkan tempahan dengan sesuka hati,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, kenyataan MATA boleh menimbulkan kekeliruan kepada bakal jemaah umrah, dan kemungkinan terdapat bakal jemaah enggan membayar deposit.

“Sedangkan ianya adalah satu kesalahan mengikut Akta Pelancongan,” katanya.

MATA semalam mencadangkan kerajaan melarang pengendali umrah daripada mengambil wang pendahuluan, sebaliknya bayaran hanya dibuat selepas bakal jemaah mendapat tiket penerbangan ke tanah suci.

Minggu lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan meneliti dan menyemak semula kelayakan syarikat agensi pelancongan terutamanya perniagaan berkaitan perjalanan mengerjakan umrah di Arab Saudi.

Ia susulan aduan orang ramai khususnya jemaah umrah yang menjadi mangsa penipuan syarikat agensi pelancongan masih diterima walaupun tindakan tegas seperti membatalkan lesen terhadap syarikat terbabit sudah dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Faridah berkata kementerian seharusnya menyenaraikan syarikat agensi umrah yang menipu, berbanding hanya mengeluarkan kenyataan rambang sedemikian.

“Dalam suasana industri umrah yang merundum dan menurun sehingga 50% ketika ini, Papuh berpandangan adalah lebih baik jika Motac turut membantu meningkatkan kembali keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap industri umrah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.