Permohonan rebat motosikal elektrik dibuka bulan depan

Permohonan rebat motosikal elektrik dibuka bulan depan

Kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dengan rebat sehingga RM2,400 bagi membantu pengguna beralih kepada motosikal elektrik.

Kerajaan turut mengalu-alukan pelaburan lebih RM170 juta oleh TNB, Gentari Sdn Bhd dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik. (Gambar Bikes Republic)
KUALA LUMPUR:
Permohonan program Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik akan dibuka kepada rakyat bulan depan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata skim ini dibuka kepada rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah dengan pemberian rebat sehingga RM2,400 kepada pembeli.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024, kerajaan memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dengan rebat sehingga RM2,400 bagi membantu pengguna beralih kepada motosikal elektrik.

Beliau berkata, kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan lebih RM170 juta oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Gentari Sdn Bhd dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan kenderaan elektrik.

“Bagi menterjemah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan menyediakan Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di sidang Dewan Negara.

Anwar berkata, dari segi keutamaan pelaburan, tumpuan juga diberikan kepada bidang pertumbuhan tinggi dan pendekatan insentif berasaskan keberhasilan yang menggunakan sistem tiering akan dilaksanakan.

“Sebagai permulaan, galakan cukai pelaburan semula secara tiering akan diberikan dalam bentuk elaun cukai pelaburan 70% atau 100%.”

Bagi membina ekosistem lebih luas untuk kluster elektrik dan elektronik (E&E) di wilayah utara, katanya, kawasan perindustrian berteknologi tinggi di daerah Kerian, Perak akan dibuka.

“Bagi memudahkan urusan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) sehingga ia diluluskan, Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) ditubuhkan dan perlu melaporkan terus kepada Majlis Pelaburan Negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.