Pengecualian visa 30 hari, PM beri jaminan tak abai keselamatan negara

Pengecualian visa 30 hari, PM beri jaminan tak abai keselamatan negara

Malaysia memberi pengecualian visa 30 hari kepada rakyat China dan India mulai 1 Dis ini atas semangat kerjasama strategik hubungan dua hala.

Anwar Ibrahim berkata, agensi keselamatan diminta memperkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan pengecualian visa tidak menjejaskan keselamatan negara.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan aspek keselamatan negara tidak akan diabaikan susulan pengumuman kerajaan mengenai pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini.

“Ada Ahli Yang Berhormat mungkin gusar kerana isu keselamatan dibangkitkan, maka agensi keselamatan telah diminta perkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan ini tidak menjejaskan keselamatan negara,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan memberikan pengecualian visa 30 hari kepada rakyat China dan India ke Malaysia mulai 1 Dis ini atas semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun pada tahun depan.

Beliau berkata, ia merupakan tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan negara lain di Asia Barat.

Anwar turut meminta pengurusan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menguruskan sendiri aset kelengkapan masing-masing tanpa campur tangan pihak luar, termasuk kerajaan, memandangkan ia sering dilanda masalah berkaitan perolehan.

Beliau berkata, ini bermakna ATM bertanggungjawab sepenuhnya jika terdapat masalah teknikal atau pelaksanaan, manakala kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, hanya akan berunding dari segi kos aset kelengkapan.

“…sebaiknya kita runding tidak melalui ejen, tetapi terus dengan kerajaan berkaitan. Kita sudah mula dengan Turki, Korea Selatan dan Itali. Kalau ada apa-apa yang diputuskan, itu adalah keputusan sendiri, kalau Tentera Laut dia putuskan (untuk aset kelengkapan Tentera Laut).

“Kalau tidak, berbilion ringgit itu hanya tiris, tidak dapat dikawal lagi. Soal keselamatan dan kelengkapan sangat kritikal bagi kita. Kita tidak mampu belanja puluhan bilion ringgit dan menyaksikan kelengkapan sangat daif ketimbang keupayaan negeri (negara) lain.”

Sementara itu, beliau berkata, penurunan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25% kepada kadar baharu bukan bertujuan menggalakkan maksiat kerana masih terdapat syarat ketat perlu dipatuhi.

Mengenai isu konflik Israel-Palestin, Anwar meminta rakyat tidak menggunakan isu berkaitan Palestin untuk menaikkan suhu perbezaan antara agama dan kaum dalam negara ini.

Katanya, masyarakat tanpa mengira agama mahupun kaum perlu memahami pendirian kerajaan menyokong Palestin serta menolak kekejaman Israel disebabkan aspek kemanusiaan.

“Ada yang tanya mengapa kita memihak hanya kerana Palestin orang Islam, tentu ada kejahilan kefahaman kerana bumi Palestin memang majoriti Arab Muslim, tapi ada juga minoriti Kristian.”

Beliau berkata, rejim Zionis bukan saja merobohkan ratusan masjid, tetapi tujuh gereja juga.

“…jadi kita harus lihat dari sudut kezaliman dan kemanusiaan kerana ia turut melibatkan orang-orang bukan Islam.”

Belanjawan 2024 bertemakan “Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat” yang dibentang Anwar di Parlimen pada 13 Okt lepas, melibatkan peruntukan RM393.8 bilion, belanjawan tertinggi pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.