
Ketika kejadian pada 4.20 petang berdekatan simpang Masjid Nurul Abidin Pangkal Canggong, difahamkan mangsa berusia 21 tahun bersama suami, 20, dan bayi lelaki mereka dalam perjalanan dari rumah di Kampung Mengketil menghala ke Machang.
Ketua Polis Machang Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Kancil yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pagar simen di tepi jalan arah bertentangan.
“Mangsa tercampak ke bahagian penumpang belakang, manakala suami dan anak tersepit di bahagian tengah di antara pemandu dengan penumpang sebelah kiri,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Adli berkata, ketiga-tiga mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat, namun wanita terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Suami dan anaknya mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Machang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.