T20 guna RM399 sebulan RON95, B40 RM243

T20 guna RM399 sebulan RON95, B40 RM243

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata ia membuktikan kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas.

Kajian mendapati secara purata golongan T20 menggunakan RM399 sebulan untuk RON95 berbanding B40 RM243.
PUTRAJAYA:
Secara purata kumpulan T20 menggunakan RM399 sebulan bagi petrol RON95 manakala B40 RM243, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata, dapatan itu diperoleh daripada Laporan Kajian Impak Program Subsidi Petrol dan Program Subsidi Diesel Sektor Pengangkutan Terpilih.

Katanya, ia membuktikan kaedah subsidi pukal tidak mencapai objektif asas kerana kumpulan sasar yang sepatutnya dibantu tidak mendapat manfaat optimum.

“Kita tahu, disebabkan diesel disubsidi secara pukal, wujud ruang ketirisan yang telah menyebabkan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dan menyeludup diesel di pasaran gelap.

“Oleh yang demikian, tidaklah wajar untuk kerajaan meneruskan suatu pendekatan yang sememangnya tidak adil kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan rakyat yang benar-benar perlu dibantu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023.

Teks ucapannya dibacakan Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, Zahid berkata kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif dan mekanisme untuk meredakan keresahan rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup yang mencabar.

Katanya, KPDN sedar keseimbangan antara keperluan perdagangan dan kepenggunaan mengambil masa untuk dicapai matlamatnya.

“Agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluas-luasnya. Kaedah sedia ada seperti wakaf, ‘endowment’, ‘social enterprise’ perlu diremajakan dan diketengahkan agar menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti wakaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran KWSP oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa boleh dinoktahkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.