
Sirul yang didapati bersalah kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, antara 140 tahanan bukan warga Australia yang dilepaskan selepas Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 Nov lalu memutuskan penahanan imigresen tanpa had menyalahi undang-undang.
Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata, ia tidak dapat mengulas kes khusus, walaupun ramai tahanan dipasang peranti seumpama itu dan dikenakan sekatan pergerakan.
Bagaimanapun, sumber mengesahkan Sirul yang juga bekas pegawai polis, antara yang dikenakan sekatan pergerakan sedemikian.
Dalam e-mel kepada FMT, jurucakap ABF berkata, peranti pemantauan elektronik dan sekatan pergerakan antara syarat dalam Akta Migrasi dan Peraturan Migrasi dipinda baru-baru ini.
Mereka yang disabitkan bersalah dengan jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan fidofilia wajib memakai gelang itu, mematuhi sekatan pergerakan ketat serta “keperluan pelaporan dan penglibatan”.
Jurucakap ABF itu berkata, syarat visa mandatori yang ketat dikenakan untuk menyekat akses mereka bekerja dengan kanak-kanak atau individu rentan lain.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan maksud “keperluan pelaporan dan penglibatan”.
Ditanya sama ada kerajaan Australia mempertimbangkan penggunaan undang-undang keganasan terhadap individu dibebaskan itu bagi menahan mereka semula, katanya, ia terpulang kepada kerajaan.
Sirul berdepan hukuman mati di Malaysia kerana membunuh Altantuya pada 2006 bersama bekas rakan sekerjanya, Azilah Hadri.
Seiring undang-undang Australia, Canberra tidak akan menghantar banduan berdepan hukuman mati ke negara asal.
Sirul melarikan diri ke Australia pada 2015 sebelum Mahkamah Persekutuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskannya serta Azilah, seterusnya mengekalkan keputusan asal Mahkamah Tinggi supaya mereka dihukum mati.
Azilah yang ditahan di Penjara Kajang, antara 1,000 banduan akhir memohon semakan semula hukuman mereka.