Peluang tipis rakyat Malaysia dipenjara di Kemboja dapat pengampunan diraja

Peluang tipis rakyat Malaysia dipenjara di Kemboja dapat pengampunan diraja

Keutamaan pengampunan biasanya diberikan kepada wanita dan warga emas serta kesalahan bukan berkaitan dadah.

M Karthigesu memegang poster meminta keadilan untuk anaknya, K Hemakavin, keldai dadah yang dipenjarakan di Kemboja.
PETALING JAYA:
Pengampunan diraja untuk seorang rakyat Malaysia yang sedang dipenjarakan di Kemboja atas tuduhan dadah hanya boleh dipertimbangkan selepas dia menjalani hukuman itu 20 tahun atau lebih, kata Wisma Putra.

Pun begitu, hukuman itu hanya boleh dikurangkan setahun atau kurang satu pertiga daripada tempoh penjara, kata Timbalan Menteri Luar, Mohamad Alamin.

“Bagaimanapun, keutamaan akan diberikan kepada banduan wanita dan warga emas, serta kesalahan bukan berkaitan dadah,” katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang meminta maklumat terkini usaha membantu K Hemakavin, keldai dadah yang dipenjarakan di Kemboja.

Hemakavin dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun pada 2017, selepas didapati bersalah atas kesalahan dadah. Mahkamah Rayuan Kemboja mengekalkan sabitannya pada 2018.

Mohamad berkata, wakil dari Kedutaan Malaysia di Phnom Penh sering melawat Hemakavin sejak dia dipenjarakan, dengan lawatan terakhir ke Pusat Koreksional 1 pada 26 Julai lalu.

“Hemakavin, bersama tahanan Malaysia lain, dibekalkan ubat-ubatan dan makanan Malaysia.”

FMT pernah menyiarkan kisah Hemakavin. Mac lalu, bapanya M Karthigesu merayu kerajaan membawa anaknya pulang.

Karthigesu mendakwa Hemakavin ditipu sindiket pengedaran dadah ketika melancong ke Phnom Penh pada 2016 bersama teman wanita, kakaknya dan teman lelaki kakaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.