Kerajaan tak cadang tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

Kerajaan tak cadang tubuh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata penubuhan suruhanjaya itu menyebabkan pertindihan dengan jawatankuasa sedia ada.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata penubuhan SEGiM boleh menyebabkan kekeliruan malah percanggahan dari segi penggubalan dasar, pengurusan serta pelaksanaan penguatkuasaan perundangan ekonomi perkongsian termasuk ekonomi gig pada masa hadapan.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) memandangkan ia akan bertindih dengan jawatankuasa sedia ada termasuk Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Keempat Perindustrian Negara (MED4IRN) dan Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata penubuhan SEGiM boleh menyebabkan kekeliruan malah percanggahan dari segi penggubalan dasar, pengurusan serta pelaksanaan penguatkuasaan perundangan ekonomi perkongsian termasuk ekonomi gig pada masa hadapan.

“Penubuhan Jawatankuasa Pro Tem Penggiat Gig (p-panggilan) 2023 adalah amat bersesuaian dengan dasar dan pengurusan perburuhan kementerian yang menjurus kepada penyediaan perlindungan sosial penggiat gig khususnya penghantar p-panggilan.

“Garis Panduan Penggiat Gig (p-panggilan) dan Syarikat Penyedia Platform 2024 telah dirangka dan dicadangkan sebagai rujukan kepada penggiat gig dan syarikat penyedia platform bagi mewujudkan persekitaran ekonomi gig yang teratur dan harmoni,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Tambahnya, garis panduan itu juga bertujuan menjaga kepentingan pihak berkepentingan dalam ekosistem gig termasuk syarikat penyedia platform.

Beliau menjawab pertanyaan M Saravanan (BN-Tapah) mengenai perkembangan memorandum penubuhan SEGiM yang telah diberi tanggungjawab kepada Kementerian Sumber Manusia bagi mendapatkan persetujuan serta kelulusan Jemaah Menteri untuk penubuhan suruhanjaya tersebut.

17 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata SEGiM dijangka akan diumumkan secara rasmi pada pembentangan Belanjawan 2024.

Katanya, SEGiM yang berfungsi mengawal selia ekosistem industri gig negara itu akan dilaksanakan sejurus selepas diumumkan ketika pembentangan belanjawan pada Oktober.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.