
Skim itu yang disifatkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bakal dibangunkan di bawah kertas putih kesihatan, memerlukan sumbangan premium daripada kerajaan, majikan dan dewasa bekerja, serta lazimnya mandatori.
CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Khalib berkata, ini dapat membantu menyelesaikan masalah kekurangan pembiayaan untuk sistem penjagaan kesihatan dengan “berkongsi beban dan tanggungjawab”.
“Ia juga berpotensi menstabilkan pemberian subsidi dan membolehkan kawalan kos, sambil mengekalkan akses serta kualiti terhadap perkhidmatan penting,” katanya kepada FMT.
Beliau memberi contoh Korea Selatan dan Taiwan yang melaksanakan insurans kesihatan sosial dibiayai sumbangan awam ke satu tabung bersama. Dana itu kemudian digunakan untuk membiayai sistem penjagaan kesihatan.
Azrul mencadangkan jumlah sumbangan setiap individu berdasarkan skala gelongsor berkaitan usia dan pendapatan bulanan.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz turut menyokong cadangan skim insurans kesihatan sosial, tetapi menggesa lebih banyak kajian dijalankan terlebih dulu.
“Kita perlu mengambil kira semua kumpulan pendapatan serta mereka yang tidak bekerja. Jika kita memutuskan melaksanakannya, ia perlu adil untuk semua.”
Katanya, dasar lemah dahulu dan tiada azam politik menyumbang terhadap kekurangan perbelanjaan untuk penjagaan kesihatan, yang membawa kepada pelbagai isu, termasuk kekurangan pakar dan kelesuan dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan awam.
“Peningkatan dalam perbelanjaan penjagaan kesihatan akan menangani kebanyakan isu ini, tetapi lebih daripada itu, kita perlukan kepimpinan untuk memacu perubahan ini.”
Bulan lalu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mengulangi gesaan supaya Putrajaya memperkenalkan skim itu bagi memacu pembiayaan penjagaan kesihatan awam.
Katanya, insurans kesihatan sosial patut dilaksanakan secara berperingkat, tanpa memerlukan caruman banyak daripada pekerja.
Bagaimanapun, bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, insurans kesihatan sosial patut dipertimbangkan hanya apabila ekonomi negara lebih baik.
“Saya tidak rasa sumbangan kepada insurans kesihatan idea baik di peringkat ini. Seluruh negara perlu mencapai status ekonomi lebih baik, iaitu tahap pendapatan kumpulan berpendapatan rendah serta sederhana di peringkat lebih selesa, sebelum kita boleh fikirkan untuk memaksa pekerja menyumbang ke arah skim seperti itu.”
Katanya, kerajaan perlu menyasarkan untuk meningkatkan peruntukan dana bagi kesihatan dalam belanjawan masa depan kepada sekurang-kurangnya 4% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).