Cabar darurat, Badan Peguam gagal rujuk soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan

Cabar darurat, Badan Peguam gagal rujuk soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan

Mahkamah Rayuan menolak rayuan badan itu untuk merujuk soalan perlembagaan berhubung kesahihan perisytiharan darurat pada 2020.

Panel Mahkamah Rayuan hari ini terikat dengan keputusan terdahulu oleh panel lain pada 12 Okt tahun lepas yang tidak membenarkan rayuan serupa oleh Bersih.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menolak rayuan Badan Peguam untuk merujuk soalan perlembagaan kepada mahkamah tertinggi berhubung kesahihan perisytiharan darurat pada 2020.

Hakim Azizul Adnan Azmi, yang menyampaikan alasan penghakiman ringkas berkata, panel terikat dengan keputusan terdahulu oleh panel lain pada 12 Okt tahun lepas, yang tidak membenarkan rayuan serupa oleh Bersih.

“Panel itu mencapai keputusan bahawa tiada kesilapan boleh rayu dibuat oleh Mahkamah Tinggi dan dengan itu, menolak rayuan (ini),” katanya.

Mahkamah menyatakan bahawa kedua-dua rayuan berpunca daripada penghakiman Mahkamah Tinggi yang sama, tetapi didengar oleh dua panel berbeza.

Hujahan bagi rayuan ini didengar dua bulan lepas oleh panel dipengerusikan Hakim Kamaludin Said, dengan Hashim Hamzah sebagai ahli panel ketiga.

Pada 18 Mei tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Shahid menolak permohonan yang difailkan oleh Badan Peguam dan Bersih untuk merujuk sejumlah 34 soalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.

Kamal berkata, beliau sebaliknya akan mendengar dan memutuskan sendiri semua soalan dalam kedua-dua permohonan itu.

Badan Peguam membangkitkan 27 persoalan undang-undang mengenai kesahihan perisytiharan bawah Ordinan Darurat, manakala permohonan Bersih mengemukakan tujuh lagi soalan.

Perisytiharan darurat, yang dibuat untuk mengekang penularan wabak Covid-19, berkuat kuasa dari 12 Jan hingga 1 Ogos 2021.

Bersih dan Badan Peguam menamakan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan sebagai responden.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan pengurusan kes pada 4 Dis, menurut Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.