
Ketuanya Ahmad Man turut menggesa Syed Hussin bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan pengundi menilai tindakannya mengalihkan sokongan.
“Jika pengundi menilai tindakan beliau sebagai satu usaha menjaga kepentingan rakyat, pastinya beliau akan menang lebih besar.
“Tapi mustahil Syed Hussin berani meletak jawatan kerana beliau tahu jika kalah habislah kuasa tawar-menawar beliau dengan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Syed Hussin mengumumkan menyokong Anwar dan kerajaan.
Beliau turut menyeru bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob bersama membantu Anwar dalam mentadbir kerajaan.
Bercakap kepada FMT, beliau menegaskan sokongannya kepada Anwar kerana kecewa Perikatan Nasional (PN) tidak berunding bagi mendapat peruntukan wakil rakyat pembangkang.
Wakil rakyat penggal kedua itu juga berkata beliau tidak diugut atau diberi tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan yang diumumkan secara terbuka pada sidang Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahmad yang juga Adun Kuala Sepetang berkata Syed Hussin sepatutnya memainkan peranan sebagai ejen semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara dengan jujur dan telus.
“Sokongan Ahli Parlimen kepada kerajaan harus berdasarkan kepentingan rakyat atas sesuatu isu, bukannya menyokong kedudukan perdana menteri dari blok kerajaan.
“Sistem demokrasi negara akan musnah jika semua Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan penuh kepada perdana menteri hanya untuk mendapat kelebihan peruntukan,” katanya.