
Jurucakap bomba berkata kejadian berlaku berhampiran pejabat Lembaga Kemajuan Ikan kira-kira jam 10 malam tadi.
Katanya, pasukan penyelamat melibatkan tiga jentera bomba kini berada di tempat kejadian sedang berusaha keras mengesan dan membantu mangsa.
Pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi itu adalah dari Balai Bomba Bayan Baru, Seri Balik Pulau dan Jalan Perak.
“Maklumat awal yang kami terima terdapat 18 mangsa terperangkap dalam runtuhan tersebut ketika panggilan kecemasan dibuat.
“Bagaimanapun, lima mangsa berjaya diselamatkan manakala seorang lagi disahkan maut dalam kejadian itu,” katanya.
Menurutnya, 12 lagi mangsa dipercayai masih lagi terperangkap dalam runtuhan itu.
“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengesahkan status mangsa yang terperangkap itu buat masa ini,” katanya.
Sehingga jam 12 pagi tadi, operasi mengesan dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap masih lagi diteruskan.