‘Seolah’ ambil dadah, guru takut terima kek pembangkang, kata Ahli Parlimen PN

‘Seolah’ ambil dadah, guru takut terima kek pembangkang, kata Ahli Parlimen PN

Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mempersoalkan sama ada wakil pembangkang dihalang menyertai aktiviti di sekolah.

Idris Ahmad mendakwa beliau dilarang merasmikan mesyuarat PIBG di sekolah di kawasannya, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang meminta penjelasan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) sama ada mereka dihalang menyertai aktiviti di sekolah.

Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkongsi pengalamannya dilarang merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah di kawasannya baru-baru ini walaupun telah mendapat persetujuan.

Katanya, sekiranya larangan itu dikenakan terhadap ahli politik, wakil dari kerajaan juga harus mematuhinya.

“Sehingga hari ini ada guru-guru takut nak terima kek sempena hari guru (dari wakil rakyat pembangkang), seolah nak ambil dadah atau bahan berbahaya,” katanya ketika berbahas pada peringkat jawatankuasa Kementerian Pendidikan (KPM) Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Beliau yang juga naib presiden PAS turut menyelar cadangan perwakilan PKR untuk menubuhkan jawatankuasa pemerhati bagi memantau guru tidak menyokong kerajaan sebagai tidak bertamadun.

“Ini idea politik zaman televisyen hitam… zaman surat khabar lama (dan) dianggap tak bertamadun.

“Laungan Madani semua ke laut belaka,” katanya.

Pada Kongres PKR semalam, perwakilan Johor Haryati Abu Nasir mencadangkan penubuhan jawatankuasa itu kerana ada trend membimbangkan dalam kalangan penjawat awam yang secara terbuka tidak mahu menyokong kerajaan ketika ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.