Pindaan Akta Suhakam wajib wakil OKU, 30% wanita dilantik anggota

Pindaan Akta Suhakam wajib wakil OKU, 30% wanita dilantik anggota

Bacaan kedua dan sesi perbahasan RUU Suhakam dijangka berlangsung Rabu ini.

Azalina Othman Said berkata pindaan itu bagi mengukuhkan fungsi dan peranan Suhakam sebagai badan bebas melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 memperuntukkan sekurang-kurangnya seorang wakil orang kurang upaya (OKU) dan 30% wanita dilantik sebagai anggotanya, kata Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.

Beliau dalam kenyataan selepas pindaan bacaan pertama Rang Undang-undang (RUU) Suhakam di Dewan Rakyat hari ini, berkata pindaan itu bertujuan mengukuhkan fungsi dan peranan Suhakam sebagai badan bebas yang melindungi dan mempromosikan hak asasi manusia di Malaysia.

“Antaranya termasuklah penambahan seksyen baharu bagi memperuntukkan Suhakam hendaklah dimaklumkan tentang tindakan yang diambil susulan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia yang telah dirujuk olehnya kepada mana-mana pihak.”

Katanya ia turut melibatkan pemerkasaan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak melalui pelantikan seorang ketua pesuruhjaya dan dua pesuruhjaya kanak-kanak, selain memberi kuasa tambahan kepada Suhakam untuk memantapkan pemeliharaan hak asasi kanak-kanak di Malaysia.

Azalina Othman Said.

“Melalui semua cadangan pindaan Akta 597 ini seperti yang dihasratkan, kerajaan perpaduan yakin ekosistem pemeliharaan hak asasi manusia di Malaysia akan bertambah baik dan suruhanjaya ini akan dapat menjalankan kuasa dan fungsinya dengan lebih efektif.”

Beliau berkata bacaan kedua dan sesi perbahasan RUU Suhakam itu dijangka berlangsung Rabu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.