
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia China, Abdul Majid Ahmad Khan berkata Malaysia satu-satunya negara di rantau Asia Tenggara, selain lima negara Eropah terpilih untuk inisiatif tersebut dan ia membuktikan keakraban dua negara.
“Cadangan China memberi pengecualian visa tersebut, melambangkan persahabatan sangat baik bagi negara (Malaysia) dengan China. Ini merupakan pandangan baik daripada China terhadap Malaysia, dan saya yakin langkah itu akan menguntungkan kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Jumaat lalu, Kementerian Luar China memaklumkan negara itu akan melaksanakan dasar pengecualian visa sepihak bagi pemegang pasport biasa dari Malaysia dan lima negara Eropah, iaitu Perancis, Jerman, Itali, Belanda dan Sepanyol mulai 1 Dis ini hingga 30 Nov 2024.
Dalam masa sama, Abdul berkata inisiatif itu juga dapat menambahkan lagi pertukaran “rakyat kepada rakyat” dari kedua-dua negara dalam kalangan tenaga pakar, sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara.
“Saya melihat Malaysia perlu tenaga pakar dari China yang mahir dalam bidang pembuatan dan kejuruteraan kerana banyak pelabur menyatakan Malaysia kurang daripada segi kepakaran dalam bidang itu.
“Bagi China pula, mereka memerlukan kepakaran dari Malaysia dalam seni reka kerana kita mempunyai kepakaran dalam bidang animasi khususnya dan ini boleh menjadi asas timbal balik antara dua negara.”
Bagi pengasas Nuzha Travel and Tour Sdn Bhd, Ammar Yusop, 37, inisiatif pengecualian visa itu akan menggalakkan lebih banyak agensi pelancongan menawarkan pakej percutian ke China.
“Sekarang, ramai pelancong hanya bercuti tidak lebih 10 hari di China dan saya menjangkakan mungkin 2,000 hingga 3,000 orang untuk tempoh setahun pelancong Malaysia akan ke sana berbanding sebelum ini hanya 500 hingga 600.”
Katanya pakej percutian akan menjadi lebih menarik, di mana pelancong dapat melawat beberapa tempat wajib dikunjungi kerana pengusaha agensi pelancongan akan menambah perkhidmatan selepas tidak perlu membayar kos visa RM80 hingga RM100 itu.
Pengusaha Taikoborongchina.com, Zulhariry Amiruddin, 37, berkata inisiatif itu akan meningkatkan usahawan dari Malaysia memborong barangan dari China kerana mereka dapat pergi ke negara itu, sekali gus menilai sendiri kualiti sesuatu produk yang ingin dibeli.
“Sebelum ini, kebanyakan usahawan menjual barangan dari China menggunakan perkhidmatan dalam talian saja, tetapi saya percaya selepas ini mereka akan pergi ke sana untuk bertemu pembekal.
“Semua pengusaha dan pemborong baharu akan lebih berminat terus ke sana dan mengambil tiga, empat hari untuk berurusan dengan pembekal dan mengimport barang dari sana ke Malaysia.”