Mahkamah tegaskan pemandu e-panggilan bukan pekerja

Mahkamah tegaskan pemandu e-panggilan bukan pekerja

Panel hakim memutuskan, pekerja ialah seseorang yang terlibat menerusi kontrak perkhidmatan, menurut Akta Perhubungan Perusahaan.

Menurut mahkamah, Grab berfungsi semata-mata sebagai perantara yang menghubungkan pengguna dengan pemandu, tanpa wujudnya ikatan majikan-pekerja.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menegaskan bahawa pemandu e-panggilan bukanlah seorang pekerja, seperti yang ditakrifkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967, ketika menolak rayuan seorang wanita supaya Mahkamah Perusahaan mendengar kes pemecatan tidak adil.

Menurut panel tiga hakim, dipengerusikan oleh Hakim Azizah Nawawi yang bersidang bersama Hakim See Mee Chun dan Zaini Mazlan, seorang pekerja, seperti yang ditakrifkan oleh akta tersebut, ialah seseorang yang terlibat menerusi kontrak perkhidmatan.

“Kontraktor bebas, yang terlibat melalui kontrak perkhidmatan, bukan pekerja, menurut Akta itu,” kata Azizah ketika menolak rayuan Loh Guet Ching.

Loh memfailkan tuntutan pemecatan tidak adil dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan, memohon dikembalikan pekerjaannya oleh MyTeksi Sdn Bhd, yang beroperasi atas nama Grab.

Azizah berkata, jelas sekali tiada kontrak pekerjaan diwujudkan antara Loh dan Grab, sambil menambah ia perjanjian komersial yang mana Loh bertindak sebagai pihak ketiga dan pembekal yang bebas.

Beliau berkata, Grab berfungsi semata-mata sebagai perantara yang menghubungkan pengguna dengan Loh.

“Aturan ini tidak boleh ditafsirkan sebagai wujudnya ikatan majikan-pekerja,” katanya dalam keputusan yang disampaikan secara dalam talian.

Azizah berkata, Loh menggunakan kenderaannya sendiri untuk menjalankan perkhidmatan pengangkutan menerusi platform Grab.

Selanjutnya, katanya, Grab tidak membayar gaji Loh dan tidak mencarum ke akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) miliknya.

Katanya lagi, perkhidmatan yang dilakukan ialah transaksi komersial, dengan Grab mengenakan komisen 20% bagi penggunaan platformnya.

“Oleh itu, perayu (Loh) jelas tidak termasuk dalam kategori ‘pekerja’ seperti yang ditakrifkan bawah Seksyen 2 Akta (Perhubungan Perusahaan).

“Justeru, representasinya tidak layak dibicarakan di Mahkamah Perusahaan,” kata Azizah.

Azizah berkata, keputusan ketua pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk tidak merujuk representasi Loh ke Mahkamah Perusahaan tidak mengandungi sebarang kesilapan undang-undang.

Katanya, Mahkamah Tinggi juga tepat dalam membuat keputusan enggan membatalkan perintah certiorari oleh ketua pengarah.

“Oleh itu, kami dapati tiada merit dalam rayuan dan ia ditolak. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” katanya.

Pada 9 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Kamal Shahid menolak permohonan Loh bagi semakan kehakiman untuk mendapatkan hak didengar di hadapan Mahkamah Perusahaan berhubung pemecatan tidak adil.

Loh sebelum ini memfailkan tuntutan dengan Jabatan Perhubungan Perusahaan agar dikembalikan semula ke platform Grab, yang ditolak oleh menteri sumber manusia atas budi bicaranya.

Ng Kian Nam, yang mewakili Loh selaku peguam, berhujah bahawa anak guamnya berhak meminta bantuan, dan menteri sepatutnya merujuk perkara itu kepada Mahkamah Perusahaan.

Grab, yang diwakili oleh T Thavalingam dan Rebecca Sonali Alfred, berkata pemandu e-panggilan bukanlah pekerja, mengikut takrifan akta.

Dilaporkan pada awal 2019 bahawa Loh melaporkan Grab kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan berhubung penyingkirannya daripada platform itu secara tidak adil.

Loh mendakwa beliau disekat daripada menawarkan khidmatnya di platform kendalian Grab susulan pertikaian dengan seorang penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada November 2018.

Beliau berkata, Grab mendapat tahu tentang pertikaian menerusi media sosial, sebelum akaunnya digantung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.