Kami tak rasa terpinggir, kata delegasi, pemimpin PKR bukan Melayu

Kami tak rasa terpinggir, kata delegasi, pemimpin PKR bukan Melayu

Khabar angin tersebar pada kongres parti bahawa mereka yang tergolong dalam kumpulan minoriti telah diabaikan.

Pada kongres PKR hujung minggu lalu, beberapa pemimpin parti, termasuk Anwar Ibrahim, meyakinkan ahli bukan Melayu bahawa mereka akan dilayan secara adil. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketika timbul khabar angin bahawa pemimpin dan ahli PKR bukan Melayu berasa diketepikan oleh parti, beberapa orang yang menghadiri kongresnya pada hujung minggu lalu, menceritakan kisah berbeza.

T Eswaran, perwakilan PKR Tanjung Piai, menafikan parti itu meminggirkan masyarakat India.

“Walaupun calon daripada masyarakat India gagal memenangi jawatan naib presiden, presiden parti (Anwar Ibrahim) tetap melantik wakil daripada kumpulan minoriti untuk peranan itu,” katanya kepada FMT.

Beliau merujuk pelantikan K Saraswathy sebagai naib presiden berikutan keputusan pemilihan parti 2022. G Manivannan, Gunaraj George, S Thiban dan MA Tinagaran semuanya bertanding untuk jawatan itu tetapi tewas.

Bagaimanapun, Eswaran berkata orang lain mungkin mempunyai perasaan berbeza tentang situasi itu. “Tetapi saya rasa majoriti pemimpin dan ahli parti bukan Melayu akan tetap menyokong Anwar,” katanya.

M Yugins, timbalan ketua penerangan Pemuda PKR, berkata dasar kerajaan Anwar dibuat untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan, tanpa mengira kaum mereka.

Terdahulu, FMT memetik sumber pemimpin dan ahli bukan Melayu dalam PKR merungut semakin diketepikan sejak Anwar menjawat jawatan tertinggi negara, walaupun telah bertahun-tahun menyokong kepimpinan presiden PKR itu.

Secara khusus, mereka merujuk pendirian konservatif tertentu kerajaan, termasuk memperkasa Jakim, menolak pengiktirafan fahaman sekular dan hak LGBT serta tindakan afirmatif berasaskan kaum.

Yugins menepis kebimbangan ini, mendakwa bahawa “terdapat beberapa orang yang hanya mahu memainkan isu itu, untuk menimbulkan kekecohan dalam parti”.

Beliau berkata Anwar telah melayan setiap kaum secara adil, sambil merujuk pembiayaan yang disalurkannya untuk membaiki sekolah Tamil dan Cina yang usang.

K Raju, ketua Pemuda PKR Simpang Renggam, berkata walaupun beliau pernah mendengar aduan yang sama, tetapi beliau tidak faham dari mana datangnya perkara itu.

Dalam ucapan dasar di kongres PKR, Anwar menegaskan parti itu tidak akan meminggirkan kaum lain dan akan sentiasa “menjamin keadilan untuk semua”.

Ketua Pemuda PKR Adam Adli juga memberi jaminan kepada perwakilan bahawa parti itu mengalu-alukan mereka yang berbeza latar belakang dan pandangan yang berbeza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.