
Pengarah JKM Perak, Nor Tipah Majin, berkata ia merupakan bantuan sokongan yang dilaksanakan sementara pihaknya mengesan ibu bapa semua kanak-kanak berkenaan.
“Pihak polis masih mengesan ibu bapa dan keluarga kanak-kanak berkenaan. Pada masa sama, JKM memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak itu.
“JKM juga akan bekerjasama dengan pihak polis bagi tujuan pengesanan ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan yang dijalankan terhadap empat beradik itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, mendapati mereka berada dalam keadaan baik serta tiada sebarang kesan kecederaan fizikal.
Empat beradik terdiri daripada dua lelaki berusia 11 dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun itu ditemukan ditinggalkan di kompleks berkenaan, Khamis lepas.
Ketua Polis Perak Tengah Hafezul Helmi Hamzah dilaporkan berkata maklumat berhubung kejadian itu diterima menerusi Pegawai JKM daerah pada 5.39 petang.
Menurut Hafezul Helmi berdasarkan keterangan diberikan, adik-beradik malang itu ditinggalkan di kawasan itu oleh seorang wanita menaiki sebuah kereta jenis Toyota.