
Pada sidang DUN Pulau Pinang, Lee Khai Loon (PH-Machang Bubuk) mencadangkan sebuah syarikat milik kerajaan negeri ditubuhkan untuk memantau isu ini, “bukan hanya sekadar tunggu dapat royalti”.
Ketika membahaskan belanjawan 2024 negeri, Lee berkata, kerajaan Pulau Pinang harus belajar daripada Selangor, yang menggunakan Kumpulan Semesta Sdn Bhd untuk penerokaan, pengekstrakan dan penjualan pasir, batu dan mineral.
Pada Jumaat, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang mungkin mempertimbangkan mencontohi Sarawak memperkenalkan cukai jualan ke atas produk petroleum, sekiranya minyak ditemui di perairannya.
Ini susulan kenyataan Petronas pada 15 Nov bahawa ia sedang memetakan potensi hidrokarbon Lembangan Langkasuka, yang meliputi perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Pada Jumaat juga, FMT melaporkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar S Sundarajoo berkata dalam jawapan bertulis DUN, kerajaan negeri telah menemukan deposit REE bernilai hampir RM100 bilion di seluruh negeri.
Jabatan Mineral dan Geosains mengenal pasti empat kawasan – Teluk Bahang, Balik Pulau, Bukit Mertajam dan Bukit Panchor (Nibong Tebal) – mempunyai deposit REE bukan radioaktif yang signifikan, berjumlah kira-kira 1.7 juta tan.
Potensi pekerjaan O&G
Sementara itu, seorang lagi penyokong kerajaan, K Kumaran (PH-Bagan Dalam) berkata, sektor minyak dan gas (O&G) bergantung kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi, yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi golongan profesional di Pulau Pinang.
Adun DAP itu menyeru kerajaan negeri supaya bersedia menyediakan kemudahan yang akan membantu menyokong pertumbuhan sektor ini, serta mengusahakan pembangunan lubuk bakat.
Beliau turut mencadangkan agar pembangunan projek Pulau Silikon di selatan Pulau Pinang mengambil kira sektor O&G.
Selain itu, Kumaran berkata, penemuan REE itu perlu dikaji secara terperinci kerana melibatkan kawasan yang sedang membangun dan hutan simpan.
Penerokaan perlu dibincangkan dengan agensi seperti pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, majlis tempatan, serta jabatan perancangan bandar dan desa.
Kumaran turut menggesa kerajaan melaksanakan penilaian impak alam sekitar (EIA) serta membentangkan enakmen yang akan memperuntukkan secara terperinci kawalan keselamatan dan alam sekitar sebelum sebarang kerja perlombongan dijalankan.