Ambil upah khianat api, baling cat, polis tahan 2 lelaki

Ambil upah khianat api, baling cat, polis tahan 2 lelaki

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata suspek melakukan kerja khianat itu selepas melihat iklan di Facebook.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata dengan tangkapan itu polis berjaya menyelesaikan sekurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar Ipoh. (Gambar Bernama)
IPOH:
Polis menahan dua lelaki di Taman Badrishah, Lahat semalam sekali gus menyelesaikan sekurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar bandar raya ini yang mencetuskan ketakutan kepada mangsa dan komuniti setempat.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata suspek berusia 27 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Besar Chemor, di sini pada kira-kira 6.30 petang.

“Pihak polis turut membuat rampasan barang kes antaranya sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan kerja khianat itu selepas melihat iklan di Facebook bagi mendapat upah dan tidak mengenali individu yang mengupah mereka, malah hanya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Mereka mengaku mula buat kerja itu sejak awal bulan ini, tetapi kami percaya mereka bukan baru melakukan kerja ini dan siasatan masih berjalan,” katanya.

Yahaya berkata semakan lanjut mendapati kedua-dua lelaki itu masing-masing mempunyai 13 dan 20 rekod jenayah dan dadah, manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Awal pagi semalam, pihak bomba menerima panggilan berhubung sebuah kereta jenis Proton X50 terbakar 30% pada bahagian hadapan kereta yang diparkir dalam garaj selain berlaku unsur khianat melibatkan bahagian rumah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.