Letak jawatan jika tak boleh kerjasama, Loke beritahu wakil DAP Selangor

Letak jawatan jika tak boleh kerjasama, Loke beritahu wakil DAP Selangor

Setiausaha agung DAP itu memberikan kata dua kepada ahli majlis perbandaran, Adun dan ketua kampung.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menggesa Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo menangani masalah kerjasama yang lemah antara pemimpin tempatan.
SHAH ALAM:
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook memberikan kata dua kepada ahli majlis perbandaran, Adun dan ketua kampung di Selangor – kerjasama atau letak jawatan.

Loke berkata, beliau sedar, kerjasama dan kolaborasi antara pelbagai jawatan dalam struktur tadbir urus tempatan Selangor lemah.

“Jika tak boleh kerjasama, letak jawatan sajalah. Jika tak mahu letak jawatan, kita buang saja,” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor hari ini, disambut sorakan perwakilan.

Loke kemudian menggesa Pengerusi DAP Selangor Gobind Singh Deo, yang turut berada di atas pentas ketika beliau berucap, agar bertegas dalam perkara ini.

“Macam-macam isu timbul … saya tak faham apa masalahnya. Jika masalah-masalah ini tak dapat diselesaikan, macam mana kita (nak main peranan bermakna) dalam kerajaan?” soal Loke.

Loke turut memberikan amaran berhubung amalan diskriminasi dalam peruntukan dana berdasarkan hubungan peribadi dan keutamaan, sambil menekankan kepentingan mematuhi prosedur.

“Jika ada isu kebajikan, peruntukkan dana. Dana itu bukan wang kita. Ia diberikan oleh kerajaan kepada wakil rakyat untuk membantu kawasan dan rakyat. Bukan tertakluk pada budi bicara kita,” katanya.

“Jika sesuatu yang sebegini mudah tak dapat dilaksanakan, kita tahulah apa yang perlu dilakukan waktu pilihan raya nanti,” katanya

Pada sidang akhbar kemudian, Loke ditanya rancangannya bagi memantau isu itu, dan sama ada beliau akan mempertimbangkan menggesa pilihan raya majlis tempatan diadakan.

Beliau menjawab, perlu ada mekanisme yang betul untuk memantau perkara ini kerana pelantikan pelbagai jawatan datang daripada jawatankuasa negeri parti.

Mengenai pilihan raya majlis tempatan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, partinya menyokong cadangan ini, tetapi sebarang keputusan dasar perlu dibuat oleh semua yang terlibat dalam kerajaan.

Gobind pula berkata, parti negeri itu kerap menerima maklum balas mengenai operasinya pada peringkat akar umbi dan mengakui masalah mungkin timbul dari semasa ke semasa.

“Kami cuba nasihat dan selesaikan isu ini. Semestinya jika kita tak mampu berbuat demikian, maka tindakan akan diambil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.