Jangan hanya lihat akademik syarat jadi calon, PKR diberitahu

Jangan hanya lihat akademik syarat jadi calon, PKR diberitahu

Kepimpinan PKR diingatkan tidak mengetepikan peranan pemimpin peringkat bahagian untuk diangkat sebagai calon.

Ginie Lim ketika membahaskan ucapan presiden pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
PUTRAJAYA:
PKR Melaka menggesa kepimpinan parti tidak hanya melihat kelayakan akademik seseorang sebagai syarat dipilih menjadi calon pada PRU akan datang.

Pembahas Melaka, Ginie Lim, sebaliknya mengingatkan kepimpinan tidak mengetepikan peranan pemimpin peringkat bahagian untuk diangkat sebagai calon.

“Tetapi pimpinan tertinggi juga perlu berlaku adil, bukannya ada kelayakan akademik, automatik dapat menjadi calon. Selepas menang jadi YB pun, tidak tahu mana satu jalan nak dibuat, mana satu rumah nak dibaiki.

“Pimpinan tertinggi boleh cadangkan dalam kongres untuk perwakilan setuju kalau nak letakkan syarat mereka yang ada kelayakan akademik mesti daripada pimpinan bahagian atau dapat sokongan bahagian barulah boleh menjadi calon,” katanya ketika membahaskan ucapan presiden pada Kongres PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata, pemimpin peringkat bahagian adalah pentadbir akar umbi, jika mereka diketepikan maka “akhirnya masalah rakyat tidak dapat diselesaikan”.

“Kami faham pimpinan tertinggi perlu mengambil kira banyak aspek dalam membuat keputusan,” katanya.

Ginie pernah mencetuskan kontroversi pada Oktober tahun lalu kerana berkeras mahu bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah, namun tidak dicalonkan.

Tindakan Ginie turut dibidas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menegaskan kerusi itu tidak pernah menjadi milik PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.