
Adam berkata, prinsip “PKR untuk semua” dan “reformasi” menjadi teras hala tuju dan pembawaan baharu negara menerusi kerajaan madani bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Terdahulu beliau turut merujuk tulisan awal Anwar dalam himpunan eseinya, Renaissance Asia, yang menyentuh konsep “La Convivencia”, iaitu keadaan di mana rakyat dari pelbagai latar belakang hidup dalam harmoni yang sempurna.
Katanya, rakyat perlu bekerjasama dalam membina negara yang tersedia untuk dihuni oleh semua.
“Tidak ada kaum, bangsa, dan agama yang boleh ditinggalkan dalam usaha ini,” katanya dalam ucapan dasar Pemuda pada Kongres PKR di Putrajaya.
Menurut Adam, semua pihak “ada tempat dalam PKR” dengan menghormati antara satu sama lain, meskipun wujud perbezaan kaum, dan ideologi politik.
“Masing-masing menyumbang dengan cara dan keupayaan (masing-masing), saling mengangkat sesama kita,” katanya.
Terdahulu, FMT memetik sumber pemimpin dan ahli bukan Melayu dalam PKR merungut semakin diketepikan sejak Anwar menjawat jawatan tertinggi negara, walaupun telah bertahun-tahun menyokong kepimpinan presiden PKR itu.
Secara khusus, mereka merujuk pendirian konservatif tertentu kerajaan, termasuk memperkasa Jakim, menolak pengiktirafan fahaman sekular dan hak LGBT serta tindakan afirmatif berasaskan kaum.
Kebimbangan ahli bukan Melayu PKR juga bertambah susulan keputusan parti hanya mencalonkan orang Melayu bagi jawatan exco di negeri-negeri pimpinan Pakatan Harapan, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, Adam turut mengingatkan perwakilan bahawa bukan mudah untuk mencapai kemenangan, justeru mereka perlu menggalas tugas dengan penuh tanggungjawab dalam kerajaan perpaduan.
“Kalian dan kita semua ini orang yang mengisi ruang politik negara, tidak kira pada peringkat mana pun,” katanya.
“Kebanyakan kita ini punya akses kepada pimpinan politik dalam kalangan kita, maka wajarlah kita menjadikan diri kita sebagai penyambung kepada suara, pandangan, idea, keinginan, dan keresahan golongan sasar.”