
Penolakan itu disuarakan 20 pembahas yang menyertai perhimpunan itu, dengan keputusannya diumumkan Pengerusi Tetap, Suhaimi Abdullah.
Turut ditolak ialah dua lagi perkara dibangkitkan Muhyiddin dalam ucapan dasarnya semalam, iaitu parti bermesyuarat mencari pengganti presiden dan ini perhimpunan agung terakhirnya.
Suhaimi berkata, penolakan itu merujuk kepada Perkara 123, 124 dan 125 ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu semalam.
Semalam, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menolak keputusan Muhyiddin tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun depan.
Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat tergempar yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Ahmad Faizal Azumu.
Semalam, Muhyiddin berkata, tiba masa untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi.
Beliau meminta pemimpin kanan Bersatu berbincang terlebih dahulu bagi memastikan tokoh berpengalaman luas dalam parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan baharu nanti.
Minggu lepas, FMT memetik Muhyiddin sebagai berkata, beliau sedar wujud gesaan untuk perubahan dalam kepimpinan parti. Ahli MPT Bersatu, Eddin Syazlee Shith antara yang membuat gesaan itu berkata, rombakan diperlukan untuk mengisi “kekosongan” dalam parti.