Peja akui salah pilih calon khianati Bersatu

Peja akui salah pilih calon khianati Bersatu

Timbalan presiden itu merujuk calon pilihannya di Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, yang akhirnya berpaling tadah sokong Anwar Ibrahim.

Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai ketua Bersatu Perak beliau ada ‘suara’ menentukan calon Bersatu mewakili PN.
SHAH ALAM:
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu mengakui kesilapannya memilih calon sehingga mereka mengkhianati parti termasuk Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.

Faizal atau dikenali Peja, berkata sebagai ketua Bersatu Perak, beliau ada “suara” menentukan calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) di negeri itu termasuk Iskandar yang juga bekas setiausaha politiknya.

Menurutnya, beliau meyakinkan Presiden Muhyiddin Yassin bahawa Iskandar boleh membawa kemenangan dan memilihnya atas dasar kepercayaan.

“Saya jadikan beliau calon dan (akhirnya) telah memungkiri taat setia kepada parti.

“Namun saya ajak dia khianati parti tidak sama sekali,” katanya pada penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di IDCC.

“Saya mengaku ada buat kesilapan (memilih calon pilihan raya untuk Bersatu).”

Pada 12 Okt, Iskandar menjadi Ahli Parlimen Bersatu pertama yang menyokong kerajaan Anwar Ibrahim.

Langkahnya itu kemudiannya diikuti Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Zahari Kechik (Jeli).

Sementara itu, beliau turut menafikan terbabit dengan tindakan Iskandar sehingga ada dakwaan wujud “Langkah London”.

Faizal menjelaskan ketika bekas pegawainya itu mengalihkan sokongan kepada Anwar, beliau berada di Manchester untuk melawat anaknya.

“Jika ada langkah patut dipanggil ‘Langkah Manchester’.

“Kepada mereka yang telah memulakan fitnah saya nak katakan, anda adalah manusia paling berani kerana tidak takut pada azab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.