Kerajaan Anwar bukan majoriti, tak mustahil tumbang, kata Hamzah

Kerajaan Anwar bukan majoriti, tak mustahil tumbang, kata Hamzah

Setiausaha agung Bersatu itu mengingatkan bahawa PH hanya memenangi 82 kerusi Parlimen pada PRU lepas, dengan undi popular 36.1%.

Hamzah Zainudin mengingatkan Anwar Ibrahim supaya tidak mempersoalkan usaha menukar kerajaan kerana beliau sendiri pernah memulakan tindakan serupa.
SHAH ALAM:
Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak mustahil boleh ditumbangkan kerana bukan terdiri daripada parti-parti yang mempunyai majoriti, kata Hamzah Zainudin.

Setiausaha agung Bersatu itu berkata, kerajaan perpaduan semasa diterajui Pakatan Harapan (PH) yang hanya memenangi 82 kerusi Parlimen pada PRU lepas, dengan undi popular 36.1%, berbanding Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 49.3%.

“PN lebih popular dari mereka, jadi kita kena terus perkuat sokongan supaya boleh (dapat) lebih 50% undi popular,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Beliau turut mengingatkan Anwar supaya tidak mempersoalkan usaha menukar kerajaan kerana beliau sendiri pernah memulakan tindakan serupa menerusi gerakan pada 16 Sept, yang mana presiden PKR itu mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Dulu semasa orang itu (Anwar) menjadi ketua pembangkang, (beliau mendakwa) kononnya ada angka yang kukuh untuk menggulingkan kerajaan seperti dibenarkan Perlembagaan (Persekutuan) mengikut amalan demokrasi.

“Sampai masanya, (berkat) doa semua para perwakilan, ahli, penyokong PN, insya-Allah, kerajaan akan beralih,”katanya.

Sebelum ini, Anwar yang mengangkat sumpah menjadi perdana menteri pada 24 Nov tahun lepas berkata, beliau berharap pentadbiran kerajaan perpaduan kekal untuk empat tahun lagi tanpa digugat mana-mana pihak.

Ahli Parlimen Tambun itu turut menzahirkan keyakinan dapat menjadikan Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.