Jangan bergantung pada ‘gelombang’, Bersatu diseru bina kekuatan

Jangan bergantung pada ‘gelombang’, Bersatu diseru bina kekuatan

Naib Presiden Ronald Kiandee menasihatkan Bersatu akan jadi seperti 'rumah tumpangan' jika tidak kuat.

Bersatu akan jadi seperti ‘rumah tumpangan’ sekiranya ia berharap pada ‘gelombang’ sentimen untuk menarik sokongan rakyat, kata Naib Presiden Ronald Kiandee. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Bersatu dinasihatkan tidak terlalu bergantung pada faktor ‘gelombang’ untuk raih sokongan, sebaliknya membina kekuatan sendiri dengan menambah ahli dan cawangan baharu.

Naib Presiden Ronald Kiandee berkata Bersatu akan jadi seperti ‘rumah tumpangan’ sekiranya ia berharap pada ‘gelombang’ sentimen untuk menarik sokongan rakyat.

“Bersatu sudah wujud selama tujuh tahun tetapi masih ada bahagian yang cawangannya kurang daripada 10. Kita mahu jadi parti ulung selepas Umno tetapi tak mahu cawangan ditambah, macam mana itu?

“Jangan kita mengharapkan ‘gelombang’ kerana ia akan reda. Kita akan jadi macam ‘rumah tumpangan’ dan bukannya rumah untuk didiami,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal.

Katanya, kepimpinan di semua peringkat perlu perhebat usaha untuk menyantuni orang ramai, terutama pengundi muda dan wanita untuk menyertai Bersatu.

Ahli Parlimen Beluaran itu juga memberi amaran kepada ketua-ketua bahagian supaya tidak terlalu memikirkan tentang kedudukan mereka dalam usaha membina kekuatan parti.

“Cawangan perlu ditambah dan ketua bahagian tak boleh marah kalau ada tambahan cawangan. Ini keputusan kepimpinan tertinggi parti,” katanya

Sebelum ini kejayaan Perikatan Nasional (PN) memenangi banyak kerusi pada PRU15 dan PRN dikaitkan dengan apa yang dikatakan ‘Gelombang Hijau’ – fenomena yang dikaitkan dengan peningkatan pengaruh PAS di Malaysia Barat.

Dalam pada itu, Ronald mengingatkan sayap Bersekutu dan Srikandi Muda segera perbaiki kedudukan masing-masing yang ketika ini masih berstatus sayap penaja.

“Kita mahu lebih ramai anak muda dan golongan wanita menyertai serta mengundi parti kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.