Anwar mesti kembali jadi ‘reformis’, kata Santiago

Anwar mesti kembali jadi ‘reformis’, kata Santiago

Anwar Ibrahim mesti melangkaui pendekatan etnosentriknya untuk fokus pada pembaharuan dan menangani isu rakyat sehari-hari, kata Charles Santiago.

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai PM pada 24 Nov 2022 selepas 5 hari Parlimen tergantung apabila tiada satu gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah pada PRU15. (Gambar Japen)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim mesti kembali kepada persona “reformis” yang dianjurkannya sebelum ini, berikutan dakwaan prestasinya buruk sejak dipilih memegang jawatan tertinggi negara tahun lepas, kata seorang bekas Ahli Parlimen.

Charles Santiago berkata, Anwar mesti melangkaui pendekatan etnosentriknya untuk fokus pada pembaharuan dan menangani isu rakyat sehari-hari.

Katanya, pendekatan Anwar berhubung isu berkaitan dengan Islam dalam usaha meraih sokongan orang Melayu gagal membuahkan hasil yang positif.

Beliau menggesa perdana menteri agar memberikan tumpuan pada pembaharuan yang boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi, mengawal harga barangan dan memastikan keterjaminan makanan.

“Dengan cara ini, sokongan bukan sahaja akan datang daripada masyarakat Melayu secara azali, malah daripada semua komuniti etnik di Malaysia, kerana (perkara-perkara ini) menjadi kebimbangan utama mereka,” kata bekas Ahli Parlimen Klang itu kepada FMT.

Bagaimanapun, Santiago mengakui bahawa kemajuan perlahan yang dicapai oleh pentadbiran Anwar pada tahun pertamanya mungkin juga dikaitkan dengan keperluan beliau untuk memahami sepenuhnya kedudukan ekonomi negara.

Setahun telah berlalu sejak Anwar, yang juga presiden PKR, menjadi perdana menteri ke-10. Beliau mengangkat sumpah pada 24 Nov 2022 selepas lima hari Parlimen tergantung apabila tiada satu gabungan berjaya memperoleh majoriti mudah pada PRU15.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menzahirkan kebimbangan berhubung kelewatan reformasi tertentu dilaksanakan, terutama berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Anwar gagal dalam beberapa isu hak asasi manusia yang penting, terutamanya berkaitan Sosma dan Akta Hasutan,” kata Hassan kepada FMT.

Pakatan Harapan (PH) berjanji dalam manifestonya pada PRU14 akan memansuhkan “undang-undang drakonian”, termasuk Sosma. Bagaimanapun, pemansuhan undang-undang tersebut tidak disenaraikan dalam manifesto PH bagi PRU tahun lepas.

Pada 23 Ogos, dilaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meminda Seksyen 13 Sosma berhubung ikat jamin tahanan. Bagaimanapun, tiada sebarang kemas kini mengenai perkara itu.

Hassan juga berkata, Anwar gagal menangani isu ekonomi tertentu, termasuk nilai ringgit yang semakin lemah berbanding dolar Amerika Syarikat, serta perpaduan negara yang terpalit isu kaum, agama dan raja.

Santiago dan Hassan kedua-duanya berkata, walaupun mereka percaya Anwar masih individu terbaik untuk memimpin negara, Jemaah Menteri memerlukan rombakan yang ketara.

Desakan agar peguam negara bebas

Sementara itu, bekas ahli panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Edmund Terence Gomez menggesa Anwar menunaikan janjinya untuk memisahkan peranan dan tanggungjawab pendakwa raya daripada peguam negara, seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU15 PH.

PH berjanji untuk memisahkan kedua-dua peranan tersebut, dengan pendakwa raya memutuskan perkara berkaitan pendakwaan manakala peguam negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan.

Gomez berkata, peguam negara yang bebas diperlukan agar kes-kes seperti pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi tidak berulang.

“Mengapa ambil masa begitu lama untuk ‘membebaskan’ peguam negara? Insiden pengguguran tuduhan Zahid oleh peguam negara telah menjejaskan kredibiliti pentadbiran Anwar,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.