
Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, berkata ucapan tular itu menunjukkan nisbah berkenaan perlu diubah suai beransur-ansur ke arah meritokrasi mutlak kerana tindakan afirmatif memenuhi sasarannya dalam merapatkan jurang sosioekonomi.
“Pelajar cemerlang harus diberi ganjaran tanpa mengira kaum. Tetapi, selain biasiswa kerajaan, terdapat juga sektor korporat, yayasan, alumni dan dermawan yang disediakan untuk pelajar layak,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, semua rakyat Malaysia perlu mengelak daripada memikirkan mereka berhak menerima sebarang pemberian.
Katanya, ada saluran dan cara lain untuk mendapat biasiswa serta mengumpul dana belajar, justeru pelajar yang tidak layak tetapi ingin melanjutkan pelajaran perlu mencari pilihan lain.
“Universiti asing, dermasiswa dan kerja sambilan atau biasiswa sukan antara pilihan itu.”

Noor Azimah mengulas ucapan penerima Anugerah Pelajaran Diraja, M Nahvin, 23, pada majlis konvokesyen di Universiti Teknikal Malaysia Melaka baru-baru ini.
Beliau menyifatkannya platform tepat untuk membangkitkan isu itu, walaupun ramai tidak bersetuju dengannya.
Nahvin yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kecerdasan Buatan), mencuri tumpuan dengan membangkitkan kekurangan meritokrasi dalam sistem pendidikan negara dalam ucapannya.
Beliau memberi contoh rakan yang memperoleh keputusan SPM hampir sama baik dengannya, tetapi gagal mendapat tempat ke matrikulasi. Rakannya sangat kecewa dan putus harapan.
“Apabila saya memasuki program matrikulasi, saya terkejut kerana terdapat pelajar dengan pencapaian yang jauh lebih rendah daripada sahabat saya. Sahabat saya kini sudah tiada, saya boleh jamin jika dia diberi peluang sama, dialah yang akan berucap pagi ini, bukan saya.”
Nahvin berkata, kisah itu bukan hanya mengenai rakannya, tetapi perkara biasa yang dialami masyarakat minoriti di negara ini.
Anugerah Pelajaran Diraja diberikan kepada dua pelajar bagi setiap 20 universiti awam secara tahunan. Anugerah itu juga berdasarkan kaum, satu untuk pelajar Bumiputera dan satu lagi untuk kaum lain.
Pelajar kaya perlu tolak biasiswa
Noor Azimah berkata, ia akan membantu jika ibu bapa berkemampuan tidak menggalakkan anak mereka menerima biasiswa yang diberikan.
“Ada ramai pelajar lain yang layak, dan biasiswa itu sebenarnya boleh mengubah kualiti hidup keluarga mereka. Ia juga mungkin yang pertama dalam keluarga besar atau kampung untuk diterima masuk ke universiti.
“Akhirnya, ia untuk membina negara bersama. Kita memerlukan satu sama lain.”