SPRM diseru siasat kerugian dalam laporan ketua audit

SPRM diseru siasat kerugian dalam laporan ketua audit

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme berkata perkara itu harus disiasat sama ada rasuah menyumbang kepada kerugian.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022 pengurusan program penanaman padi melaporkan kerugian wang awam terbesar iaitu RM660.14 juta.
PETALING JAYA:
Badan anti-rasuah menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat kerugian wang pembayar cukai sebanyak RM681.7 juta kerana kelemahan dalam enam program kerajaan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) dalam kenyataan berkata perkara tersebut harus disiasat sama ada rasuah menyumbang kepada kerugian itu.

Katanya lagi, kelemahan-kelemahan yang dilaporkan itu menonjolkan kecacatan dalam sistem perolehan awam serta menimbulkan keraguan sama ada proses pemilihan kontraktor dijalankan secara terbuka dan telus.

“Kekurangan pada undang-undang untuk mengawal selia proses berkaitan serta mengenakan langkah-langkah kebertanggungjawaban bermakna tanggapan ‘pembaziran’ berpotensi mengaburi isu yang lebih memudaratkan,” katanya.

“Amat mengecewakan bahawa ini satu lagi takuk dalam rekod dana awam disalah urus dan membawa kepada kerugian besar.”

LKAN 2022 yang diterbitkan pada Rabu lepas melaporkan kehilangan atau kerugian wang awam membabitkan enam projek, susulan 16 kajian membabitkan 14 kementerian.

Menurut infografik yang meringkaskan keseluruhan laporan tersebut, pengurusan program penanaman padi melaporkan kehilangan/kerugian wang awam terbesar iaitu RM660.14 juta, diikuti pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (RM14.33 juta), serta pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan dan agensi bawah Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).

Turut dilaporkan pengurusan program pemuliharaan kawasan perlindungan marin (RM0.49 juta), program galakan pelaburan bagi sektor perkilangan (RM0.29 juta), serta pengurusan program bandar selamat (RM0.12 juta).

Audit juga melaporkan 11 projek atau program gagal mencapai objektif atau keberhasilan. Prestasi tiga projek atau program pula tidak dapat diukur, manakala hanya dua projek atau program mencapai objektifnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.