Setahun sebagai PM, Anwar perlu Kabinet ampuh jayakan Ekonomi Madani

Setahun sebagai PM, Anwar perlu Kabinet ampuh jayakan Ekonomi Madani

Barjoyai Bardai berkata rancangan mengukuhkan ekonomi Malaysia sukar dilaksanakan dengan barisan Kabinet yang dilihat kurang berkeupayaan.

Anwar Ibrahim melancarkan kerangka ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ pada Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tanggal 24 November genap setahun Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri yang berdepan pelbagai isu kritikal dan dekat di hati rakyat seperti kos sara hidup.

Penganalisis ekonomi berpendapat walaupun kesan positif belum dilihat kini namun Anwar telah memulakan langkah dengan melancarkan kerangka ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’.

Ia menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai sebelum 10 tahun akan datang.

Dilancarkan pada 27 Jul lalu, kerangka itu akan menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju di rantau Asia Tenggara, sekali gus memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan lebih bermutu.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata bagi menjayakan rancangan itu Anwar harus mempunyai pasukan Kabinet mantap, namun keupayaan barisan sedia ada masih diragui selepas setahun bergelar menteri.

“Ekonomi Madani Malaysia dirasakan menuju ke arah yang sangat kukuh jika semua ini dilaksanakan.

“Tapi melihat barisan Kabinetnya yang dilihat kurang berkeupayaan untuk melaksanakan (Kerangka Ekonomi Madani), itu yang menyebabkan penganalisis ekonomi merasa sangsi,” katanya kepada FMT.

Anwar mengetuai pentadbiran kerajaan perpaduan yang lahir susulan situasi parlimen tergantung selepas PRU15, menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain.

Bagi pemerhati politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia, situasi semasa dunia yang menyaksikan peperangan di Gaza selain konflik Ukraine-Rusia boleh menjejaskan perancangan kerangka Ekonomi Madani.

“Anwar menjadi perdana menteri dalam keadaan ekonomi dunia cukup mencabar, krisis makanan terkesan akibat perang Ukraine-Rusia ditambah situasi di Timur Tengah yang boleh merebak…lambat laun beri kesan,” katanya.

Namun beliau berpendapat Anwar boleh fokus kepada isu rakyat kebanyakan yang memerlukan bantuan, bukannya kumpulan elit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.