PRN Sabah: Bersatu tak tolak mungkin kerjasama GRS

PRN Sabah: Bersatu tak tolak mungkin kerjasama GRS

Naib presiden Bersatu Ronald Kiandee berkata dalam politik sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Ronald Kiandee berkata Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) akan bertanding pada PRN Sabah dijangka tahun depan.
SHAH ALAM:
Bersatu Sabah tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan parti tempatan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diketuai Hajiji Noor pada PRN akan datang.

Ketuanya Ronald Kiandee berkata dinamik politik semasa tidak menentu, menyebabkan mana-mana parti perlu bekerjasama dengan rakan atau lawan.

“Dalam politik banyak kemungkinan boleh berlaku. Kita tak tahu.

“Apa pun Bersatu dan PN akan bertanding di Sabah,” katanya yang juga naib presiden Bersatu pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di IDCC, Shah Alam.

Kiandee berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu sedia bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah dijangka tahun depan, setahun lebih awal daripada tempoh penggal DUN tamat.

Sebelum ini Umno tidak menolak kemungkinan menjalinkan pakatan dengan Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) pada pilihan raya itu.

Disember tahun lalu, Bersatu digugurkan sebagai ahli gabungan komponen GRS, namun Hajiji yang juga ketua menteri Sabah kekal sebagai pengerusi GRS.

Sementara itu, mengenai cadangan perwakilan Johor supaya jawatan pengerusi Bersatu dikembalikan semula agar diisi oleh Muhyiddin Yassin, beliau berkata perkara itu tidak berbangkit kerana jawatan itu sudah tidak termaktub dalam perlembagaan parti.

“Saya rasa ia tidak berbangkit ketika ini, sebaliknya perlu utamakan pengumuman Muhyiddin (tidak pertahan presiden) terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata kepimpinan tertinggi parti juga akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini bagi membincangkan hasrat Ahli Parlimen Pagoh itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.