
Menyifatkannya sebagai tidak bermoral, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menjangkakan usaha itu akan gagal melihat pergolakan dalam PN, merujuk tindakan empat Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“PAS masih bernafsu besar untuk menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.
“Hadi tahu dia tidak akan berjaya. Mana mungkin khususnya ahli Umno termakan pujukan beliau walhal PN sendiri semakin berpecah,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, presiden PAS itu mendakwa PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin Umno yang tidak menyokong kerjasama dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Hadi turut berkata pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar di PRK Kemaman, 2 Dis depan sebagai persediaan untuk gabungan itu mengambil alih pentadbiran Putrajaya.
FMT sebelum ini melaporkan penganalisis politik melihat tindakan PAS mencalonkan Samsuri sebagai strateginya menampilkan calon perdana menteri dari golongan profesional.
Seorang lagi ahli MKT Umno Shahaniza Shamsuddin berpandangan PAS tidak ikhlas menghulurkan tangan kerjasama, sebaliknya melihat kenyataan Hadi itu hanya untuk memancing undi Melayu pada PRK Kemaman.
“Itu hanya cakap-cakap kempen pilihan raya. Nak pengaruhi, perdaya dan putar belit untuk mendapat undi orang Melayu sahaja.
“Saya tak nampak itu satu kata-kata ikhlas daripada pihak PN,” katanya.