P Pinang bentang belanjawan RM1.4 bilion, defisit RM514.53 juta

P Pinang bentang belanjawan RM1.4 bilion, defisit RM514.53 juta

Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta itu akan dibiayai rizab kerajaan negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan berbaki RM1.67 bilion pada 15 Nov 2023.

Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, RM1.047 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM374.718 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion dengan anggaran defisit RM514.53 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata daripada jumlah itu, RM1.047 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM374.718 juta untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, kerajaan negeri menganggarkan hasil boleh dikutip tahun depan berjumlah RM533.08 juta dan akan menjadikan Belanjawan 2024 mengalami defisit sebanyak RM514.53 juta.

“Nilai defisit ini bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding defisit 2023 berjumlah RM467.12 juta, namun mengambil kira janji kerajaan negeri akan sentiasa berusaha dan berikhtiar melonjakkan pembangunan negeri, di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan.

“Anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Belanjawan 2024 akan dibiayai rizab kerajaan negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki RM1.67 bilion pada 15 Nov 2023,” katanya ketika membentangkan belanjawan itu pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini.

Chow berkata, anggaran kutipan hasil berjumlah RM533.08 juta pada 2024 menunjukkan penambahan sebanyak RM10.73 juta atau 2.05% berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 sebanyak RM522.35 juta, didorong peningkatan unjuran hasil cukai, khasnya cukai langsung dan hasil bukan cukai.

Komposisi hasil 2024 terdiri daripada hasil cukai RM167.91 juta (31.5% ), hasil bukan cukai RM277.92 juta (52.13%) dan terimaan bukan hasil sebanyak RM87.24 juta (16.37%).

Beliau berkata, anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.05 bilion merangkumi perbelanjaan bagi emolumen, perkhidmatan dan bekalan, aset, pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain.

Perbelanjaan pembangunan 2024 berjumlah RM374.72 juta akan merangkumi peruntukan bagi projek Gurney Bay (RM80 juta), Pembangunan Sukan dan Kawasan Lapang (RM15.3 juta), Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (RM21.23 juta), Pembangunan Rancangan Perumahan Murah (RM6 juta), Projek Khas Ekonomi (RM15.05 juta) dan projek pembangunan lain.

Sidang DUN akan bersambung Isnin depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.