
Beliau mengumumkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
“Maka dengar, pada hari Jumaat yang mulia ini, saya ingin nyatakan tak akan pertahankan jawatan presiden pada pemilihan akan datang,” katanya disambut laungan “tidak…tarik balik Tan Sri” oleh perwakilan.
Sebahagian besar perwakilan juga dilihat mengalirkan air mata dengan pengumuman itu.
“Keputusan saya ini dibuat untuk memberi ruang kepada pemimpin pelapis Bersatu mengambil alih kepimpinan parti menurut proses demokrasi yang diamalkan oleh parti kita,” kata Muhyiddin.
Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu meminta pemimpin kanan Bersatu bermusyawarah (berbincang) terlebih dahulu bagi memastikan tokoh berpengalaman luas dalam parti mempunyai tempat dan peranan dalam barisan kepimpinan baharu nanti.
“Ini penting supaya kekuatan yang ada pada parti kita dapat kita gembleng dengan lebih jitu lagi pada masa hadapan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang saya memimpin parti,” katanya.
“Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik.”
Sebelum ini, FMT melaporkan gesaan pemimpin Bersatu Eddin Syazlee Shith yang mendakwa parti itu memerlukan perubahan pimpinan tertinggi untuk menghadapi PRU16 namun mesti dilakukan secara “tertib”.
Katanya, ini kerana parti itu mempunyai kelompangan atau kelemahan yang perlu diisi supaya lebih mantap membantu Perikatan Nasional (PN).
Muhyiddin dalam temu bual dengan FMT pula berkata beliau akan mencari cara terbaik untuk memastikan peralihan kuasa tidak memecahbelahkan Bersatu.
Beliau juga berkata, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dipilih olehnya sebagai ketua pembangkang kerana ingin melatih pelapis.